IPOH – Sepuluh kedai termasuk sebuah muzium yang mempamerkan koleksi sejarah hangus dalam kebakaran di Sungai Burung, Cameron Highlands malam tadi.
Penguasa Bomba Zon 3 Pahang, Shahrulnizam Nasir, berkata pihaknya bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 10.16 malam tadi.
Katanya, dua jentera ‘water tender’ dari Balai Bomba dan Penyelamat Brinchang dan Ringlet digunakan dalam operasi memadamkan api dan dibantu sebuah jentera dari pasukan Bomba Sukarela Tringkap.
“Sampai di lokasi kejadian yang melibatkan deretan kedai iaitu daripada 16 unit kedai, enam daripadanya berjaya diselamatkan.
“Anggaran peratusan kebakaran adalah 70 peratus dan tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Katanya, operasi memadam api yang tamat pada 3.50 pagi itu disertai dua pegawai dan 17 anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Brincang serta Ringlet, lapan anggota Pasukan Bomba Sukarela Tringkap, lapan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan polis.
Menurut Shahrulnizam, antara kedai yang terbabit dalam kebakaran termasuklah sebuah kedai sayur, dua kedai makan, sebuah kedai mesin permainan, muzium terowong masa dan sebuah kafe.
Beliau berkata punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan. – BERNAMA