GANAS… Dua orang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah sekitar Daerah Klang, Selangor ‘tunjuk belang’ apabila bertindak samseng membelasah seorang pelajar lelaki tingkatan dua.
Mangsa yang berusia 14 tahun itu dihukum sedemikian hanya kerana dituduh cuba ganggu pelajar perempuan. Dia dipukul dan ditendang oleh remaja itu sambil disaksikan beberapa individu lain yang merakam kejadian tersebut.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipanggil seorang pelajar lain pada pukul 12.30 tengah hari ketika dalam perjalanan pulang ke rumah.
“Mangsa yang juga pengadu kes ini selepas selesai sesi persekolahan kemudian diminta mengikuti pelajar itu ke kawasan belakang landskap sekolah berkenaan.
“Pengadu dipukul individu itu bersama seorang lagi pelajar lain dengan tangan dan kaki. Kejadian itu dileraikan seorang pelajar yang berada di tempat kejadian,” katanya kepada Harian Metro hari ini.
Menurut Shamsul Amar lagi, tiada kesan kecederaan fizikal yang dialami pada badan mangsa setelah menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan. – MYNEWSHUB.CC/MIZE