ANAK perempuan kepada Chef Wan iaitu Serina Redzuawan meluahkan rasa terkilan apabila bekas suaminya, Salahuddin Ghaffar atau Gavin Edward O’Luanaigh tidak membenarkan dia berjumpa anak-anak seperti biasa.
Serina menerusi laman Instagram miliknya memuat naik foto bersama dua orang anaknya itu dan mendedahkan bekas suaminya itu melanggar perintah mahkamah apabila dirinya kini dihalang daripada berjumpa dengan mereka.
Menurut Serina, sebelum ini dia dibenarkan berjumpa anak-anak iaitu Tristan Tareef O’luanaigh, 6, dan Isabella Safiyya O’luanaigh, 5, pada setiap hari bagi menguruskan hal persekolahan mereka.
“Hari ini saya akan beritahu apa yang sebenarnya berlaku. Selama ini saya pendam dan tanggung kesedihan. Saya sedang melalui dugaan yang perit kerana bekas suami cuba membuli dan menyeksa emosi saya sebagai seorang ibu.
“Gavin dengan sengaja juga pisahkan kasih sayang saya dan anak-anak. Sebelum ini saya boleh jumpa mereka setiap hari tetapi sekarang dia hanya benarkan jumpa hujung minggu sahaja.
“Pelbagai alasan yang dia berikan sehingga saya tidak berpeluang untuk meluangkan masa bersama mereka,” tulis Serina.
“Saya risaukan akidah anak anak terjejas, doakan Serina akan ambil semula hak jagaan anak-anak,” kata Serina lagi.
Malah, tambah Serina, bekas suaminya itu turut didakwa ‘kantoi’ berkhalwat ketika berada di rumah bersama anak-anak mereka selain memohon orang ramai mendoakan yang terbaik buat dirinya.
“Memang kejam apa yang dia buat! Saya bersabar selama ni. Sehinggalah dia telah langgar perintah Mahkamah ditangkap khalwat anak-anak di rumah ketika tu. Ini dah malampau.”
Sementara itu, Chef Wan menerusi salah satu entri di Instagram miliknya turut ‘terpanggil’ memberi penjelasan berhubung hal tersebut.
Chef Wan berkata, tindakan bekas menantunya itu dianggap tidak menghormati orang dan agak melampau kerana sanggup melanggar perintah mahkamah.
“Saya dah lama bersabar untuk tidak tentang hal ini. Tetapi dia (menantu) dah melampau kerana buli anak saya. Malah, saya juga dihalang bertemu dengan cucu hanya kerana saya bercakap benar.
“Selama ini saya sangat bersabar. Tak nak malukan dan nak jaga maruah dia. Tetapi dia lelaki yang tidak kenang budi sejak hari pertama berjumpa dengan saya di ruang tamu rumah untuk melamar Serina.
“Walaupun selepas pendedahan ini dibuat dan dia mahu membawa kes ini ke mahkamah dan kena masuk penjara pun saya sanggup kerana menegakkan kebenaran,” tulis Chef Wan.
Serina dan Salahudin sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur pada 1 Ogos 2017.
Talak itu dilafazkan di hadapan Hakim Syarie, Nurul Hidayah Jani selepas mahkamah membenarkan permohonan yang difailkan Serina.
Difahamkan, Salahudin juga menarik balik permohonan nusyuz terhadap Serina yang telah difailkannya. – MYNEWSHUB.CC/AM