KUALA LUMPUR – Draf akhir akta baharu yang bertujuan menangani penularan berita palsu akan dibawa ke Kabinet dalam tempoh terdekat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
“Dalam seminggu dua ini kita akan bawa draf yang akhir itu kepada Kabinet untuk buat penentuan sebelum cadangan akta ini dibawa ke Dewan Rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas istiadat pembukaan mesyuarat pertama penggal keenam Parlimen Ke-13, di sini hari ini.
Bagaimanapun, Azalina berkata beberapa faktor perlu dipertimbangkan sebelum akta baharu itu dibawa untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat, termasuk sama ada mempunyai waktu yang mencukupi untuk cadangan akta itu dibentangkan, dibahas dan diluluskan pada persidangan kali ini.
Mesyuarat pertama bagi penggal keenam Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari. Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V merasmikan majlis pembukaanya hari ini dan Anggota Parlimen dijadual bermesyuarat sehingga 5 April depan.
Sultan Muhammad V dalam titah perasmian baginda hari ini menzahirkan sokongan terhadap usaha kerajaan menggubal undang-undang bagi menangani penyebaran berita palsu dan fitnah di media sosial.
Titah Seri Paduka pada masa ini media sosial amat berpengaruh dalam membentuk nilai-nilai dan budaya sesuatu masyarakat, dan semua pihak hendaklah memainkan peranan masing-masing untuk mempertahankan budi pekerti dan nilai-nilai baik masyarakat.
Dalam pada itu, Azalina turut menyeru semua Anggota Parlimen agar membahaskan akta berkenaan secara berhemah serta berteraskan kepentingan mempertahankan kedaulatan Malaysia, apabila ia dibentangkan kelak.
“Penggubalan akta baharu ini penting kerana istilah ‘berita palsu’ tidak wujud dalam mana-mana undang-undang di Malaysia ketika ini,” katanya.
Azalina bagaimanapun enggan mengulas mengenai intipati akta tersebut dengan alasan ia pramatang untuk berbuat demikian. – BERNAMA