GUA MUSANG – Dua maut manakala seorang cedera ringan apabila kereta Proton Wira yang dinaiki mereka hilang kawalan lalu terbabas merempuh pembahagi jalan di Kilometer 70 Jalan Gua Musang-Lojing di sini, awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Mohd Taufik Maidin berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi, mangsa yang maut adalah pemandu kereta, S.Paramasivam,33, berasal dari Tanah Rata, Cameron Highlands, Pahang, dan seorang lagi mangsa wanita yang identitinya belum diperoleh.
Mohd Taufik berkata mangsa wanita berkenaan duduk di bahagian belakang kereta tersebut dan kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat cedera parah di badan dan kepala.
Beliau berkata seorang lagi penumpang hadapan kereta tersebut, Sharif Sayid Ahmad, 38, berasal dari Kampung Raja, Cameron Highlands hanya cedera ringan.
āKesemua mangsa dalam perjalanan dari Gua Musang ke Cameron Highlands dan sebaik tiba di lokasi kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
āSepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang dikejarkan ke lokasi untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit. Mangsa yang cedera ringan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan,ā katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Katanya siasatan awal mendapati pemandu kereta terbabit berada dalam keadaan mabuk akibat pengaruh alkohol.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang untuk bedah siasat. – BERNAMA