KUALA LUMPUR – Eksport Malaysia ke Kazakhstan khususnya, jentera dan kelengkapan pengangkutan, meningkat kepada RM62 juta pada 2017 berbanding hanya RM26.6 juta pada 2016.
Menurut perangkaan daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), sektor lain seperti makanan dan bahan api mineral, mencatatkan lonjakan eksport, masing-masing bernilai RM110 juta dan RM66 juta.
Duta Republik Kazakhstan ke Malaysia, Daniyar Sarekenov, berkata hubungan perdagangan yang kukuh telah memberi kesan yang positif kepada ekonomi kedua-dua negara.
“Menurut National Bank of Republik Kazakhstan, perdagangan dua hala telah mencecah lebih US$84 juta (US$ 1 = RM3.91) 2016.
“Perdagangan pada 2017 naik 47 peratus (US$123.4 juta) berbanding 2016,” katanya.
Katanya, Malaysia mengeksport produk elektrik, elektronik, perkakasan,peralatan, minyak sawit, minyak pelincir, produk getah, pakaian, perabot ke Kazakhstan manakala Kazakhstan mengeksport minyak, logam ferus, peralatan pengukuran dan kelengkapan berkaitan saluran paip ke Malaysia.
“Untuk meningkatkan hubungan dua hala di antara kedua-dua negara, Majlis Perniagaan serta Jawatankuasa Ekonomi dan Perdagangan Bersama Kazakhstan-Malaysia telah ditubuhkan untuk menyelia kerjasama ekonomi dan pelaburan,” katanya.
Hasilnya, pihak-pihak terbabit telah bersetuju bagi menubuhkan kumpulan kerja mengenai kerjasama dalam industri halal, kewangan Islam, pelancongan, tenaga yang boleh diperbaharu, minyak dan gas termasuk kerjasama pelaburan.
Menurut Sarekenov, sepanjang tahun lepas, Malaysia dan Kazakhstan telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU), merangkumi 11 MoU yang bernilai US$1.17 bilion manakala sejumlah US$ 1.775 bilion yang lain adalah melalui pemadanan perniagaan.
Antara MoU yang ditandatangani adalah antara Ronser Biotech Bhd, sebuah syarikat yang pakar dalam pelbagai disiplin perkhidmatan alam sekitar dalam rawatan air sisa dengan Astana Sur Anarsy untuk membina sebuah loji rawatan.
Malaysia dan Kazakhstan, yang memulakan hubungan diplomatik pada 1992, ini memanfaatkan bukan sahaja dari segi perdagangan, tetapi juga dalam sektor pelancongan, katanya.
Ssejak 1 Jan 2017, Kazakhstan telah menarik balik keperluan visa sehingga 30 hari untuk 45 buah negara, termasuk Malaysia.
“”Dasar ini direka bagi menggalakkan dan membangunkan potensi pelancongan di negara ini. Sudah pasti, pelancaran penerbangan terus antara Kuala Lumpur dan Almaty pada Oktober 2009 menjadi pencapaian sebenar kerana ia membuka peluang-peluang baharu untuk perniagaan, pelancongan, pendidikan dan pertukaran individu,” kata Sarekenov.
Pada 2016, terdapat 10,717 ketibaan dari negara Asia Tengah dan sekarang ini, Air Astana sedang dalam perbincangan dengan rakan kongsinya di Malaysia untuk meningkatkan kekerapan penerbangan daripada tiga kepada lima kali seminggu dalam tahun ini, katanya.
“Pada peringkat politik, kami telah menikmati suasana yang baik. Ini dicerminkan melalui hubungan politik yang lebih kerap, termasuk di peringkat tertinggi.
“Astana dan Kuala Lumpur, oleh kerana keadaan negaranya yang bersifat berbilang kaum dan agama, kedudukan geografi yang penting pada rangkaian antarabangsa, termasuk tempo ekonomi kami yang agak tinggi, mendapati kami mempunyai banyak persamaan,” katanya. – BERNAMA