YAN – Masyarakat Islam di negara ini perlu mengambil iktibar daripada pilihan raya umum (PRU) terdahulu untuk memastikan tiada perpecahan berlaku sama ada sebelum atau selepas berakhirnya PRU14 nanti.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata masyarakat Melayu dan Islam akan rugi besar sekiranya mereka terus berpecah walaupun selepas berakhirnya pilihan raya umum.
“Memasuki ‘mood’ PRU boleh menyebabkan timbulnya perpecahan dalam masyarakat, apatah lagi jika tiada pencerahan yang lebih jelas tentang perkara yang ditimbulkan dalam masyarakat.
“…betapa ruginya apabila setiap kali lepas PRU, kita berpecah dan akhirnya perpecahan itu hanya melibatkan kelompok dan kalangan masyarakat Melayu dan Islam…yang rugi adalah masyarakat, negeri dan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutup Program Sepakat Komuniti 1Malaysia Peringkat Negeri Kedah di Pantai Murni Waterfront di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Jamil Khir yang juga Anggota Parlimen Jerai berharap agar calon-calon yang bakal bertanding pada PRU14 supaya bertanding dengan lebih bersih dan matang.
“…biar kita bertanding dengan lebih bersih, bersemangat dan matang…hindarkan fitnah yang membawa kepada perpecahan kerana soal fitnah dan perpecahan ini akan membawa kepada permusuhan dalam masyarakat itu sendiri,” katanya.
Dalam pada itu, Jamil Khir turut memuji penganjuran Program Sepakat Komuniti 1Malaysia, yang menghimpunkan lebih 1,000 peserta daripada 117 Komuniti 1Malaysia di seluruh negeri.
“Program seperti ini dapat mendekati masyarakat untuk memberi penjelasan dan maklumat berkaitan perkembangan negara dan kerajaan. Malah, ia perlu sentiasa berterusan bagi menolak maklumat palsu dan fitnah,” katanya. – BERNAMA