IPOH – Empangan di Perak mampu membekalkan air untuk kegunaan domestik di seluruh negeri bagi tempoh sehingga enam bulan meskipun cuaca panas dan kemarau melanda negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air negeri, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata berdasarkan laporan daripada Pengurus Besar Lembaga Air Perak, Datuk Ir Mohd Yusof Mohd Isa, tiada pengurangan air yang drastik di semua empangan, sebaliknya berada pada tahap tidak membimbangkan.
“Kalau mengikut mesyuarat semalam yang diberikan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) Hidro juga, mereka merasakan musim kemarau kali ini agak panjang dan sumber paras air yang terdapat di empangan itu kalau ikutkan pengiraan mereka boleh kekal sehingga bulan Oktober,” katanya.
Menurutnya lagi, paras dua empangan yang membekal air ke Loji Rawatan Air Sungai Kinta dan Ulu Kinta serta Loji Rawatan Air Kuning, Taiping menunjukkan paras air yang tinggi dan berada pada paras maksimum.
Dalam pada itu, katanya walaupun paras air di kawasan dan luar jelapang padi berada pada tahap melebihi paras normal, namun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan terus memantau keadaan cuaca dan taburan hujan di kawasan tadahan empangan.
Langkah itu, katanya bagi memastikan maklumat segera dan tepat dapat disalurkan kepada petani khususnya pihak berwajib demi memastikan penggunaan air dapat dioptimumkan.
Dalam pada itu, jelasnya lagi, TNB juga akan melakukan pengubahsuaian terhadap prosedur operasi standard penjanaan tenaga elektrik daripada unit jana kuasa bagi memastikan sumber air pengairan pertanian, industri dan domestik tidak terjejas. – BERNAMA