SHAH ALAM – Empat daripada 13 Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS Selangor sudah mula menerima peruntukan masing-masing yang sebelum ini didakwa disekat oleh kerajaan negeri.
Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata empat wakil rakyat tersebut adalah ADUN Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman; ADUN Dusun Tua, Razaly Hassan; ADUN Taman Templer, Zaidy Abdul Talib dan ADUN Seri Serdang, Noor Hanim Ismail.
“Setakat ini hanya empat ADUN PAS diberikan peruntukan dan yang lain belum lagi. Sembilan ADUN masih tak terima peruntukan dan guna wang peribadi bagi menjalankan program bantuan di kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita.
Sallehen ditemui selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keenam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-13, yang disempurnakan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Bangunan DUN di sini, hari ini. – BERNAMA