HUBUNGAN dingin dan perang mulut antara Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan dengan Amerika Syarikat nampaknya tidak akan terhenti.
Dalam episod terbaharu, Presiden Erdogan pada 20 Mac lalu menyelar AS atas tindakannya yang disifatkan bermuslihat di Afrin, bandar dalam wilayah Syria tempat operasi Turki menentang militia Kurdi.
Menurut Erdogan, AS cuba berbohong pada Turki, menyebabkan sukar untuk mempercayai kuasa besar itu.
Kata Erdogan, AS tidak membantu tentera Turki dalam operasi memerangi Kurdi Syria yang merupakan sebahagian kumpulan teroris berhaluan kiri Kurdi yang beroperasi dalam wilayah Turki.
“Jurucakap AS sekadar berkata, ‘Kami prihatin dengan apa yang berlaku di Afrin.’ Tetapi tidak membantu kami memerangi teroris di sana,” kata Erdogan dalam mesyuarat partinya Ankara.
Pada masa sama, Menteri Luar Turki Mevlut Cavusoglu mempersoalkan kenyataan Jabatan Negara AS yang mendakwa “prihatin” terhadap situasi di Afrin.
Kata Cavusoglu, operasi ketenteraan di Afrin dijalankan dengan berhati-hati dan cermat, tetapi AS dan beberapa negara lain sering menimbulkan tentang keselamatan orang awam di sana.
Menteri luar Turki itu membayangkan yang AS didesak oleh kumpulan bersenjata Kurdi YPG untuk membuat kenyataan itu.
Turki kini sedang menumpukan pada usaha untuk mendesak militia YPG berundur dari bandar itu untuk mengelakkan pertempuran bersenjata.
Turki dan AS sebelum ini dalam beberapa pertemuan peringkat tinggi membincangkan pengunduran Kurdi dari Manbij, tetapi perancangan ini mungkin terjejas akibat pemecatan Rex Tillerson daripada jawatan setiausaha negara.
Ankara telah lama mendesak AS agar menggunakan pengaruhnya menggesa YPG berundur dari Manbij ke timur Sungai Furat.
Turki kini menguasai kawasan yang sebelum ini dikuasai pasukan bersenjata Kurdi YPG di Afrin, kawasan sebahagian wilayah dituntut autonomi oleh Kurdi Syria.
Kawasan sepanjang sempadan dua negara itu dimasuki Turki untuk mengawal kawasan sempadannya yang dikuasai kumpulan Kurdi yang turut menggugat keselamatan Turki.
AS di bawah Presiden Donald Trump memberi sokongan kepada kumpulan Kurdi tersebut, mendorong Turki bertindak balas secara ketenteraan.
Kurdi di Syria mempunyai hubungan rapat dengan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) di Turki, yang berperang dengan kerajaan Turki dan dilabel pengganas.
Turki mahu menghalang penguasaan Kurdi di kawasan sempadan itu untuk mengelakkan penubuhan negara Kurdi meliputi kawasan sempadan Syria-Turki itu, yang dianggap sebagai Kurdistan Barat oleh etnik Kurdi.
Kurdi di utara Iraq telah memperolehi autonomi dan mahu merdeka sepenuhnya dari Iraq, dan berjaya melaksanakan referendum yang menyokong kemerdekaan, tetapi menerima tindak balas keras dari Iraq, Turki dan Iran. – Agensi/Mynewshub.cc