LAHAD DATU – Seramai 25 pendatang asing tanpa izin (Pati) ditahan dalam operasi bersepadu diselaraskan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) di sini, malam tadi.
Komander Esscom Datuk Hazani Ghazali berkata satu kenyataan hari ini, dalam operasi pukul 10.30 malam di rumah kongsi pekerja di kawasan Tingkayu Kunak, kira-kira 50 minit perjalanan dari pekan Kunak, seramai 46 pekerja diperiksa.
Beliau berkata, daripada jumlah itu, 25 orang ditahan kerana didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah serta tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Seorang daripada 25 Pati itu adalah warga Filipina manakala selebihnya warga Indonesia berumur antara 16 hingga 60 tahun, katanya.
Hazani berkata operasi melibatkan Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia cawangan Lahad Datu serta Tawau berakhir pukul 5 pagi. – BERNAMA