TAWAU – Projek Agrobazaar Rakyat 1Malaysia (ABR1M) yang diperkenalkan Lembaga Kemajuan Pertanian Persekutuan (FAMA) berjaya mentransformasikan usahawan runcit luar bandar dengan peningkatan untung berganda.
Perkara itu didedahkan pengusaha ABR1M di sini yang juga pasangan suami isteri, Hasbin Mahmud, 41, dan Nuraisya Firman, 26, yang bermula dengan kedai runcit kecil di Kampung Apas sebelum FAMA menawarkan peluang menyertai projek ABR1M dan kedai runcit itu diubah suai.
“Terima kasih kerajaan dan FAMA membantu memajukan perniagaan saya dan isteri, sebelum menyertai ABR1M nilai jualan diperoleh RM30,000 tetapi alhamdulillah kini mencecah RM60,000 sebulan,” kata Hasbin yang telah mengusahakan ABR1M sejak dua tahun lalu selepas menerima geran peruntukan ABR1M bernilai RM68,000 daripada FAMA.
Menurut Hasbin, kerajaan menerusi FAMA berterusan memberi sokongan serta bimbingan dan nasihat supaya perniagaannya berkembang.
“Kami menyediakan komoditi perniagaan mengikut pecahan produk segar, produk sejuk beku serta produk runcit pada harga berpatutan dan terdapat 10 pembekal termasuk petani dan nelayan yang dipilih oleh FAMA menghantar bekalan ke kedai kami,” katanya ABR1M itu dibuka seawal 6.30 pagi sehingga 8 malam.
ABR1M Apas Tawau adalah yang pertama dibuka di Sabah sebelum terdapat enam ABR1M lain diwujudkan di negeri ini.
Sementara itu, Pengarah FAMA Sabah, Ribin Wahid ketika ditemui Bernama berkata nilai jualan tujuh ABR1M di Sabah mencecah RM4,054,215.20 bagi tempoh Januari hingga Disember tahun lepas.
“FAMA menyasarkan pembukaan ABR1M sekurang-kurangnya sebuah lagi di Sabah pada tahun ini,” katanya.
Menurutnya ABR1M menjadi outlet alternatif untuk pengguna mendapatkan produk agromakanan terpilih pada harga dan kualiti yang munasabah terutama produk segar pertanian, sekali gus kewujudan ABR1M dapat mengurangkan lapisan orang tengah dalam rantaian pemasaran produk pertanian.
Dalam pada itu, Ribin berkata kerajaan berterusan berusaha menyediakan platform untuk rakyat mendapatkan barangan keperluan harian terpilih dengan harga lebih rendah daripada harga pasaran iaitu termasuk memperkenalkan Program Jimat Belanja Dapur (JBD).
“Di Sabah terdapat 29 lokasi program JBD iaitu tiga di pasar tani, tujuh ABR1M, 59 Agrobazaar Kedai Rakyat dan lapan MyBestBuy,” katanya. – BERNAMA