JOHOR BAHRU – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan nilai jualan di Halal Fest 2018 di Singapura sebanyak RM1 juta berdasarkan potensi besar produk Malaysia di negara jiran itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Ismail Mohamed berkata ekspo selama empat hari itu yang bermula Khamis ini, akan melibatkan seramai 49 usahawan tempatan yang akan mempamerkan pelbagai produk.
Katanya usaha FAMA dalam ekspo itu untuk membantu usahawan tempatan meneroka pasaran baharu selain mempromosikan produk baharu buatan Malaysia.
“Pada masa sama, kita dapat meningkatkan kesedaran pengguna mengenai produk agro-makanan jenama Malaysia kepada masyarakat Singapura dan pelancong amnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis simbolik pelepasan usahawan Malaysia ke Halal Fest Singapura 2018, di sini, hari ini.
Selain produk industri asas tani seperti buah-buahan dan makanan yang diproses, makanan kesihatan, produk kecantikan, gaya hidup dan fesyen muslimah akan turut dipamerkan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Pasaran Antarabangsa FAMA Datuk Nazipah Jamaludin berkata pasaran Singapura menjadi fokus utama agensi itu pada tahun ini berikutan lokasinya yang berhampiran dan memudahkan pemantauan dibuat untuk melihat perkembangan usahawan yang terlibat.
Selain Halal Fest, katanya pihaknya juga akan mengadakan beberapa program lain seperti Malaysia Fest dan Halal Food pada November ini. – BERNAMA