KUALA TERENGGANU – Anggota Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO Terengganu perlu menggunakan ‘feel good factor’ dalam menangani serangan pembangkang yang semakin rancak menggunakan kaedah ‘politik persepsi’ menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU 14).
Pengerusi BN dan Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata langkah itu perlu kerana rakyat cenderung memilih siapa yang diundi berdasarkan emosi selepas dimomokkan dengan isu yang membuatkan mereka marah dengan kerajaan BN.
“Kita kena lawan balik dengan kaedah persepsi sama tetapi menonjolkan ‘feel good factor’ seperti rekod UMNO sepanjang 60 tahun memerintah negeri ini dan bandingkan apa yang terjadi pada 1999 ketika Terengganu diambil alih PAS dan yang BN capai serta lakukan untuk rakyat sepanjang menjadi pemerintah.
“Ketika itu siapa yang menyeleweng wang zakat, mengunci Wisma Darul Iman sebaik sahaja mengambil alih tampuk pemerintahan negeri, siapa yang kunci Tadika Kemas Dungun, merampas kereta exco?
“Siapa yang kebas duit permohonan tanah daripada rakyat tetapi tanahnya tidak ada…siapa yang tukar pegawai kerajaan 15 kali dalam tempoh tiga tahun dan siapa yang pecat imam dan tok bilal yang didapati tidak menyokong parti mereka dan siapa yang tutup MRSM?” katanya.
Ahmad Razif berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Genderang Perang PRU14 di Kediaman Rasmi Menteri Besar di Seri Iman, di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Kelab Sahabat N87 Terengganu, Datuk Abd Rahman Bakar bersama kira-kira 1,000 anggotanya.
Menteri Besar Terengganu itu turut menarik perhatian agar tidak mengambil mudah dengan pengundi baharu kerana sebahagian besar mereka akan mengundi buat pertama kali pada PRU kali ini serta penentu sama ada kerajaan kekal sebagai pemerintah negeri.
“Memang kita dalam landasan yang betul ketika ini tetapi kita kena buat sehabis baik bagi mempertahankan kerajaan sedia ada. Jadi carilah mereka dan dekatilah mereka serta pastikan mereka keluar mengundi dan sokong BN,” katanya.
Pada majlis itu Ahmad Razif turut menyampaikan dana bagi 366 Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebanyak RM5,000 setiap PDM dan RM100,000 kepada Kelab Sahabat N87 sebagai persiapan menghadapi PRU14. – BERNAMA