SUNGAI PETANI – Festival Kuih Kapit sempena Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baharu Cina 2018 berjaya mencatat rekod dalam Malaysia Book of Records (MBOR) dengan penyertaan paling ramai pembuat kuih kapit berjumlah 1,210 orang.
Sijil tersebut ditandatangani sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menghadiri Sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Tahun Baru Cina 2018 di perkarangan Dataran Amanjaya Mall di sini malam ini.
Turut hadir, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; Menteri Pengangkutan merangkap Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Festival berkenaan bermula dari 10 pagi hingga 8.30 malam, dengan sasaran memecahkan rekod terdahulu sebanyak 1,148 pembuat kuih kapit oleh MCA Negeri Sembilan pada 2002.
Dalam pada itu, pengarah projek, Rosnan Nordin berkata sepanjang 10 jam pembuatan kuih kapit tersebut, 200 dapur arang dan 500 pengapit acuan besi disediakan, serta digunakan secara bergilir-gilir .
“Kita sangat berbangga kerana dapat mengumpulkan pelbagai bangsa dalam festival kuih kapit ini.
“Nyata, resepi tradisional daripada ramuan ringkas iaitu tepung, telur dan santan mampu menjadi sajian kegemaran penduduk Malaysia,” katanya. – BERNAMA