SEORANG gadis Palestin ini, Ahed Tamimi, 17, yang mengejutkan dunia kerana keberaniannya menampar dua askar Israel di Tebing Barat pada Disember tahun lepas, telah dihukum penjara selama lapan bulan oleh mahkamah tentera Israel.
Keputusan dibuat selepas peguam Ahed, Gaby Lasky berjaya mencapai perjanjian dengan pendakwaraya.
Menerusi perjanjian itu, Ahed bersetuju untuk mengaku salah di atas empat daripada 12 tuduhan yang dikenakan ke atasnya iaitu melakukan serangan, menghasut dan dua tuduhan menghalang tugas.
Selain Ahed, ibunya Nariman Tamimi dan sepupunya, Nour turut didakwa. Nariman turut dihukum penjara selama lapan bulan dan hukuman berkenaan dicapai juga menerusi perjanjian yang dicapai antara Lasky dengan pendakwa.
Manakala Nour pula hanya dikenakan hukuman penjara 16 hari dan memandangkan dia ditahan melebihi tempoh tersebut, maka Nour dibebaskan.
Sepanjang perbicaraan, kesemua mereka diarahkan ditahan di penjara. Kes itu dibicarakan secara tertutup di mahkamah tentera dengan alasan Ahed masih bawah umur. Meskipun Lasky memohon supaya ia diadakan secara terbuka namun ditolak mahkamah.
Kes tersebut mendapat perhatian dunia dan tindakan Ahed, yang memukul tentera Israel itu, telah menjadikan dia sebagai wira serta disanjung tinggi oleh penduduk Palestin kerana berani menentang kezaliman rejim berkenaan.
Video Ahed menampar dua tentera Israel itu menjadi viral. – MYNEWSHUB.CC