DEMI menjayakan watak, pelakon Hairul Azreen sanggup menggelapkan kulit badannya serta membina otot bagi menampakkan dirinya seperti seorang anggota bomba.
Ia dilakukan semata-mata demi menjayakan filem terbaharunya, Qhaliq.
Hairul menganggap apa yang dilakukannya itu sebagai satu pengorbanan dan merupakan caranya yang tersendiri bagi menghayati watak yang dibawa.
“Saya terpaksa hitamkan muka, kuruskan badan dan ‘buat’ badan untuk berlakon filem aksi ini.
“Malah, saya berjemur di tengah panas, berjogging untuk nampak bentuk muka ‘askar’ dan hilangkan muka ‘jambu’ sekejap,” katanya dipetik daripada portal Astro Gempak.
Menurutnya juga, pada ketika dia menerima tawaran bagi filem Qhaliq itu, dia masih dalam persediaan untuk memulakan penggambaran filem Polis Evo 2 bersama dengan Zizan Razak dan Shaheizy Sam.
“Persediaan saya melakonan watak ini, saya perlu faham tugas sebagai anggota bomba, macamana anggota bomba bekerja dan tengok apa yang mereka buat.
“Apabila saya tengok mmereka bekerja dan jadi sebagai anggota bomba, saya berasa bangga kerana mereka adalah penyelamat yang dekat dengan masyarakat.
“Malah, saya ingat sudah cukup fit tapi mereka sebenarnya lagi kuat, boleh tahan panas, api dan memang patut kita kagum dengan anggota bomba,” tambahnya lagi.
Sebagai seorang pelakon, bapa kepada seorang cahaya mata itu berasa sangat kagum dengan tugas ahli bomba yang pada mata kasar kita nampak seperti mudah. Tapi hakikatnya, hanya mereka sahaja yang tahu.
Dalam masa yang sama, Hairul turut berharap agar penonton akan memenuhi panggung bagi menonton filem berkenaan supaya mereka akan mengetahui dengan lebih lanjut tentang tugasan sebagai seorang ahli bomba.
“Ia bergantung pada penonton. ‘Trend ‘penonton lebih suka pada cerita polis dan ini adalah filem kisah bomba yang pertama.
“Filem ini menunjukkan kebakaran yang berlaku dan bagaimana menyelamatkan mangsa walaupun ia cerita cinta yang mempunyai kisah aksi romantik,” ujarnya.
Filem berkenaan bakal ditayangkan pada 5 April ini dibawah arahan Rosli Mohd Taib.
Kini, nama Hairul lebih dikenali sebagai seorang pelakon aksi yang hebat. Jika sebelum ini dia sering memegang watak sebagai pencinta wanita, kini tiba giliran untuk dia membawa watak sebagai seorang yang lasak. – MYNEWSHUB.CC/AH