“HANYA golongan zalim takut kepada doa orang soleh. Bagi mereka yang baik tidak bimbang doa keburukan oleh orang lain kerana yang memakbulkan doa hanyalah Allah,” kata pemimpin PAS, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali.
Menurut beliau, mendoakan kebaikan dan mendoakan keburukan kedua-duanya adalah sunnah kerana berdoa agar musuh mendapat hidayah adalah dituntut seperti mana doa Nabi Muhammad S.A.W agar penduduk Thaif mendapat hidayah.
Namun, kata beliau, berdoa agar musuh yang jahat dan golongan yang zalim mendapat pembalasan Tuhan juga dibolehkan, malah dituntut apabila kezaliman itu melibatkan kepentingan Islam dan umatnya.
“Asasnya adalah kerana doa adalah senjata mukmin. Nabi Muhammad S.A.W bersabda: “Doa adalah senjata orang beriman, tiang agama dan cahaya langit-langit dan bumi” (Hadis Riwayat Hakim)
“Dalam Hadis Sahih Bukhari dan Muslim, Nabi berdoa ke atas Quraisy yang mengganggu dan menyakiti baginda ketika solat di Masjid Haram. Nabi juga mendoakan kehancuran tentera bersekutu pakatan Ahzab dalam peperangan Ahzab dan mendoakan kehancuran kerajaan Kisra Parsi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Media pro-Pakatan Harapan (PH) pada 17 Mac lalu melaporkan PAS Selangor mengadakan solat hajat demi kemenangan parti itu di negeri berkenaan serta mendoakan kehancuran “pakatan jahat” yang dipercayai merujuk kepada PH.
Solat hajat itu juga dilaporkan menyamakan pertempuran PAS pada pilihan raya umum yang akan datang seperti Perang Ahzab.
Peperangan Ahzab atau dikenali sebagai Perang Khandak merupakan peperangan antara tentera kafir di sekitar tanah Arab yang berkumpul untuk memerangi Nabi Muhammad yang ketika itu berada di Madinah.
“Nabi bersabda dalam Hadis Bukhari dan Muslim: Takutlah kamu terhadap doa orang yang dizalimi kerana sesungguhnya tiada antara doa itu dengan Allah sebarang dinding,” kata Mohd. Khairuddin.
PAS ketika ini sedang diserang hebat oleh blok PH yang dibarisi DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Parti Amanah Negara (PAN) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Pelbagai fitnah dan penghinaan dilemparkan oleh PH ke atas PAS termasuk kononnya menerima wang RM90 juta daripada UMNO malah pemimpinnya disindir bertaraf lebai oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Antara strategi terbaharu PH untuk menghancurkan PAS adalah Kerajaan PKR Selangor menyekat peruntukan untuk wakil rakyat PAS di negeri itu. – MYNEWSHUB.CC