BESUT – Di sebalik raut wajah dan gerak-gerinya yang lemah-lembut, tentu ramai tidak menyangka ibu kepada dua anak ini betah bermain dengan pahat dan tukul di bengkelnya setiap hari.
Tidak janggal bergelumang dengan habuk kayu, Ruwaida Baharudin, 31, berbangga menjadikan bidang ukiran kayu sebagai kerjaya pilihannya sejak 10 tahun lepas.
Walaupun bidang itu lazimnya dipelopori golongan Adam, Ruwaida membuktikan itu bukan faktor halangan untuk meneruskan minatnya terhadap seni yang menuntut kekuatan fizikal dan kreativiti tinggi itu.
Mengimbau semula detik pembabitan awal dalam seni warisan Melayu itu, Ruwaida mula berguru dengan tokoh seni ukir kayu terkenal Norhaiza Noordin yang juga berasal dari daerah sama.
DALAMI ILMU KE PERINGKAT DIPLOMA
Selesai menimba ilmu daripada adiguru yang juga idolanya, anak jati Terengganu itu kemudiannya mengorak langkah mendalami ilmu dan mengasah kemahiran di Institut Kraf Negara (IKN) .
“Tiga tahun mendalami ilmu ukiran di IKN buat saya lebih pasti tentang potensi dan masa hadapan bidang ini, selain belajar kemahiran mengukir, saya juga lebih faham tentang pemasaran.
“Hakikatnya permintaan produk kraf memang tinggi cuma tenaga mahir yang kurang,” ujar pemegang Diploma Seni Ukir Kayu itu.
Tidak mahu terburu-buru, Ruwaida terlebih dahulu menimba pengalaman bekerja di Kraftangan sebagai staf projek selama empat tahun sebelum mengusahakan perniagaan kraf sendiri.
Bermula dengan modal RM10,000, beliau kemudiannya mengambil keputusan untuk berganding bahu dengan suaminya, Suhaimi Mohd Romli, 33, yang juga seorang pengukir kayu dengan membuka bengkel sendiri di kampung halamannya.
“Di Besut memang masih ramai yang bergiat aktif dalam seni ukiran kayu, jadi secara tidak langsung ia lebih menyuntik semangat untuk berkarya di tempat sendiri,” katanya yang sedang hamil anak ketiga.
Selain itu, bagi meningkatkan lagi kemahiran mengukirnya, Ruwaida turut menyertai projek Kraf Kampungku (Ukiran Kayu). Ia satu inisiatif Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) untuk membangunkan komuniti setempat di bawah program Satu Daerah Satu Industri (SDSI)-Produk Kraf.
Susulan itu, Ruwaida juga bakal menjadi peserta dalam program anjuran Kraftangan Malaysia; Program Kraf Kampungku yang bakal berlangsung pada 15 Mac-17 Mac ini bertempat di Desa Ukiran Kayu, Kampung Raja, Besut. Program tiga hari itu bermula pukul 9.00 pagi-6.00 petang.
PRODUK UKIRAN LEBIH KOMERSIAL
Mahu tampil berbeza daripada produk usahawan sedia ada, Ruwaida memastikan rekaan produknya memenuhi permintaan pelanggan dengan mengambil kira citarasa dan trend terkini.
Beliau telah menghasilkan lebih 20 jenis produk ukiran kayu termasuk rehal Al-quran, bekas penyimpan kunci, bingkai cermin, hiasan dinding dan perabot berharga serendah RM5.00 hingga mencecah RM40,000.
Bagi tujuan komersial, beliau mempraktikkan penggunaan kayu Jelutung yang bersifat lebih ringan dan lembut untuk menghasilkan produknya.
“Harga kayu terutama yang berkualiti seperti cengal agak mahal, mungkin tidak semua golongan mampu untuk beli walaupun minat, jadi kita guna kayu yang lebih murah dan lebih praktikal supaya boleh jual lebih murah,” katanya.
Namun katanya beliau tidak mempunyai masalah untuk memenuhi permintaan khas pelanggan yang mahu menggunakan kayu lain serta ukiran seni halus jika bersetuju dengan harga ditawarkan.
GALAS ASPIRASI KEKAL WARISAN
Menolak persepsi bahawa produk ukiran kayu tidak lagi mendapat tempat di hati golongan muda, Ruwaida berkata permintaan perabot dan hiasan dalaman rumah daripada bahan itu amat memberangsangkan.
Ruwaida berkata selaku pengamal seni kraf muda, beliau juga membawa aspirasi untuk menerapkan idea baharu dalam rekaan
“Golongan muda patut mempertahankan seni warisan ini dengan menjadi perintis dan terus mempergiatnya agar tidak lapuk ditelan zaman.
“Saya harap lebih ramai lagi golongan muda yang membuka mata untuk menceburi bidang kraf terutama ukiran kayu, selain berpotensi besar sebagai peluang perniagaan, saya anggap ia juga seruan dalam mempertahankan warisan negara,” katanya.
WANITA SETARAF LELAKI
Menyokong usaha dan minat Ruwaida, adiguru kraf kayu yang juga guru Ruwaida, Norhaiza berpandangan penglibatan wanita dalam bidang ini bukan lagi perkara asing pada masa kini.
“Kalau dulu tak ada wanita yang buat kerja ni, janggal jika seorang wanita melakukan kerja ini kerana dianggap kerja berat dan lebih sesuai dilakukan lelaki walaupun tak perlu memikul kayu,” katanya.
Mengakui penubuhan Kraftangan Malaysia banyak mempengaruhi perubahan trend tersebut, katanya beliau turut berbangga kerana sudah ada pengukir kayu wanita yang bergelar usahawan berjaya malah bergelar pelajar terbaik di IKN.
Beliau turut memuji sifat tekun dengan fokus yang tinggi dimiliki pengukir kayu wanita, sekaligus menjadi kelebihan golongan itu menghasilkan karya mengagumkan.
“Dari segi hasil ukiran, masih ada kekurangan yang perlu diperbaiki lagi namun tidaklah terlampau ketara, lagipun untuk berjaya dalam bidang ini bakat sahaja tidak cukup, sikap yang baik amat penting,“ katanya.
Mengulas lanjut, katanya walaupun pengukir kayu wanita bukan lagi perkara baharu, bilangan yang terlibat masih boleh dibilang dengan jari.
Biarpun ramai yang mempunyai ilmu asas ukiran kayu, namun ramai juga yang akhirnya ‘tewas’ dan tidak meneruskan ia sebagai kerjaya dan sumber mata pencarian kerana tidak mampu memberikan komitmen.
Norhaiza juga berpandangan sokongan suami sangat penting dalam menjadi tulang belakang kejayaan seorang wanita dalam bidang itu.
“Setakat ini saya lihat pengukir kayu wanita yang masih bertahan, berkahwin dengan mereka yang bekerja sebagai pengukir juga dan sama-sama mengusahakan ukiran kayu,” katanya.
Justeru, katanya sokongan semua pihak penting dalam menggalakkan lebih ramai penglibatan wanita dalam bidang itu agar tidak mensia-siakan bakat yang ada, sekali gus menampung permintaan tenaga mahir. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…