KUALA LUMPUR – Ideologi Tun Dr. Mahathir Mohamad mengenai hak asasi dan kebebasan media bercanggah dengan janji-janji pembangkang kepada rakyat dalam manifesto Pakatan Harapan pada 8 Mac lalu.
Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, dalam manifesto itu Pakatan Harapan menjanjikan hak asasi tulen dan kebebasan media.
“Termasuk dalam komitmen Pakatan Harapan ialah janji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
“Manifesto Pakatan Harapan menyebut komitmen menjamin kesaksamaan, menghapuskan diskriminasi dalam semua aspek dan menjadikan penyebaran kebencian antara kaum dan agama sebagai jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Kamarul Zaman berkata, bagaimana mungkin seorang bekas Perdana Menteri yang seluruh dunia tahu mempunyai pandangan yang sangat negatif mengenai hak asasi boleh membiarkan Pakatan Harapan menjanjikan semua ini.
Beliau memberi contoh berikut yang mengambarkan ideologi Mahathir mengenai hak asasi dan kebebasan media selama ini:
– Selewat 10 Januari 2015, Tun Dr. Mahathir masih menulis mengenai betapa liberalisme Barat yang menghalal segala-galanya tidak akan menjadikan orang Melayu lebih mulia dan lebih berjaya dan umumnya budaya Barat yang mengutamakan hak individu lebih daripada hak orang ramai perlu ditolak.
– Pada 29 April 2014 Mahathir menulis mengenai betapa jika demokrasi mahu hidup maka mestilah ada batasan kepada kebebasan yang dianggap sebagai demokratik di mana kebebasan bersuara, kebebasan media, demonstrasi dan mogok mesti dibataskan.
– Pada 1 Ogos 2014, Mahathir dengan tegas menyebut masanya sudah tiba kita berhenti bercakap mengenai kebebasan media dan akui bahawa media, termasuk internet, perlu ditapis kerana apa saja kebebasan akan sentiasa terbuka kepada penyalahgunaan.
– Pada 17 Februari 2013 Mahathir dengan tegas menyebut beliau tidak kisah jika kerajaan menapis media alternatif kerana kebebasan yang ditawarkan oleh media alternatif menyebabkan pembohongan boleh dibuat untuk kelihatan seperti kebenaran manakala kebenaran pula boleh dibuat untuk kelihatan seperti pembohongan.
– Mengenai Akta Hasutan 1948, Mahathir menentang sebarang cubaan untuk memansuhkannya di mana di dalam tulisan beliau pada 30 Jun 2014.
– Mengenai Akta Keharmonian Nasional, Mahathir menentang sebarang cubaan untuk memperkenalkannya di mana di dalam tulisan beliau pada 12 Jun 2014. – MYNEWSHUB.CC