Thursday, October 24, 2024

Creating liberating content

Serah Semula Tanah Untuk...

KEMAMAN - Kerajaan negeri Terengganu bersetuju menunaikan tuntutan masyarakat Cina untuk menyerahkan kembali...

Anggap Nga Kor Ming...

IPOH - Tindakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming meminta Menteri Besar Perak...

PAC: Pengerusi, AJK Baharu...

PUTRAJAYA - Siapakah pengerusi dan barisan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) yang...

Tidak Perlu Mancarut Untuk...

KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak...

Imigresen Cekup 34 Bangladesh Dalam Operasi Di Selangor

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia menumpaskan sindiket penyeludupan migran rentas sempadan dan menahan 34 warga Bangladesh yang dipercayai baru sahaja tiba di Malaysia, dalam satu operasi di Selangor awal pagi hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata pasukan serbuan menahan 29 lelaki warga Bangladesh yang dipercayai baru tiba dan dua lagi dipercayai tiba lebih awal sebelum ini di sebuah rumah flat di Taman Permata Fardason, Kepong, kira-kira 12.30 pagi.

Beliau berkata migran itu baru diseludup masuk melalui lorong tikus di persisiran pantai Tanjung Sepat, Selangor dan ditempatkan di rumah flat itu sehingga orang yang dibawa masuk dipindahkan ke tempat lain.

“Pasukan serbuan turut menahan dua lelaki dan seorang wanita warganegara Bangladesh yang dipercayai bertindak menyembunyikan dan melindungi migran-migran tersebut serta bersubahat dengan pihak sindiket,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Operasi yang dijalankan secara Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) melibatkan Bahagian Perisikan, Operasi Khas dan Analisis Imigresen dan Cawangan Siasatan Jenayah Maritim, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Mustafar berkata pemeriksaan di kediamaan tersebut menemukan pakaian-pakaian yang masih basah dan berbau minyak petrol berselerakan di atas lantai ruang tamu dan bilik, dipercayai dipakai oleh migran yang baru tiba.

Beliau berkata mereka diarahkan oleh tekong untuk terjun dan mengharungi air separas dada sebaik sahaja tiba di lokasi pendaratan.

“Sebahagian migran yang tiba ditempatkan di sebuah bilik kecil dengan keadaan berhimpit dan tidak dibenarkan keluar manakala telefon bimbit dirampas oleh penjaga bagi mengelakkan mereka berhubung,” katanya.

Mustafar berkata hasil siasatan awal mendapati migran-migran tersebut diuruskan oleh ejen warga Bangladesh yang dikenali sebagai ‘Motti’ yang dipercayai beroperasi hampir setahun dan modus operasinya mempunyai persamaan dengan beberapa kes tangkapan sebelum ini.


“Mereka terpaksa membayar antara RM12,000 hingga RM20,000 kepada sindiket. Migran yang tiba di negara ini akan disimpan terlebih dahulu di rumah penampungan sehingga bayaran yang dikenakan dilangsaikan sebelum diserahkan kepada ejen atau majikan,” katanya.

Mustafar berkata semakan melalui sistem Jabatan Imigresen turut mendapati ada di antara migran yang ditangkap itu pernah mempunyai rekod disenaraihitamkan oleh jabatan itu kerana kesalahan lampau.

Sementara itu, Mustafar berkata Imigresen Kelantan menumpaskan satu lagi sindiket penyeludupan manusia di kawasan Tanah Merah, yang menggunakan sebuah van dipercayai dari Pulau Pinang menuju ke Kelantan bagi tujuan menghantar warga Myanmar ke sempadan negara untuk balik ke negara asal.

“Seramai 13 warganegara Myanmar, termasuk tiga wanita dan seorang kanak-kanak perempuan ditahan dalam operasi itu. Turut ditahan dua lelaki warganegara Malaysia yang cuba menyeludup keluar warganegara asing ini,” katanya sambil menambah bahawa sebuah van yang dipercayai digunakan untuk menyeludup warga asing turut disita.

Mustafar berkata kesemua migran yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 manakala suspek-suspek yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Pindaan 2010).

“Jabatan Imigresen juga komited untuk menutup ruang dan peluang berlakunya aktiviti pencerobohan negara dan pasti akan bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba menggugat kedaulatan serta keselamatan rakyat dan negara,” katanya. – BERNAMA

Kategori