KUALA LUMPUR – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Immigration & Checkpoints Authority, Singapore (ICA) bersetuju untuk mempertingkatkan kerjasama kedua-dua pihak dalam isu keselamatan dan keimigresenan.
Ketua Pengarah JIM, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, persetujuan itu dicapai pada Mesyuarat Bilateral Malaysia – Singapura berkaitan Imigresen buat kali ke-5 pada di Bangunan ICA, Singapura, semalam.
“Antara fokus utama perbincangan adalah dalam memudahkan operasi dan pelaksanaan pembangunan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.
“HSR Kuala Lumpur-Singapura akan meningkatkan kecekapan rangkaian pergerakan perjalanan,mengukuhkan hubungan ekonomi dan mengeratkan hubungan antara rakyat apabila ia siap kelak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mustafar berkata, mesyuarat itu turut membincangkan projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang akan beroperasi di Bukit Chagar di Johor ke stesen Woodlands North di Singapura yang dijangka membantu menangani masalah kesesakan di Tambak Johor dan Tuas.
Selain itu, kata beliau, isu-isu sempadan, kawalan pergerakan keluar masuk dan keselamatan juga menjadi fokus utama perbincangan tersebut.
Malah, katanya, kedua – dua agensi itu menyatakan kesediaan untuk bertukar maklumat berkaitan kejadian pembolosan dan pemalsuan dokumen di pintu masuk kedua-dua negara yang berisiko mengancam keselamatan kedua-dua negara.
“Aspek pembangunan kapasiti juga dipertingkatkan dengan program pertukaran pegawai dalam kursus dan kehadiran pegawai di persidangan antarabangsa,” katanya. – MYNEWSHUB.CC