SIBU – Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak Dr Annuar Rapa’ee mencabar individu yang mendakwa kerja-kerja menyediakan penempatan baharu bagi kira-kira 130 keluarga mangsa kebakaran Kampung Datu Lama di sini pada Jun 2013 belum lagi selesai, agar bersemuka dengannya.
Menurutnya, beliau sebagai wakil rakyat kerajaan telah bertungkus lumus serta berusaha sebaik mungkin bagi membantu kesemua keluarga mangsa kebakaran sejak hari pertama kejadian sehingga 33 keluarga pemilik asal lot telah berpindah ke rumah baru di Kampung Datu Baru di sini.
Beliau berkata, individu-individu berkenaan telah mengembar-gemburkan cerita berkenaan di media sosial dan dijadikan isu semasa kempen pilihan raya negeri yang lalu malah turut dibangkitkan ketika beliau bertanding jawatan naib presiden perhimpunan agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pertengahan Februari lalu.
“Mana-mana individu yang kata kerja-kerja itu belum selesai, sila berjumpa terus dengan saya untuk beritahu apa lagi yang belum selesai atau beri pandangan bagi menyelesaikan perkara belum selesai itu ataupun sama-sama kita menyelesaikannya.
Saya sentiasa sedia untuk bersemuka supaya dapat terangkan perkara sebenar. Jangan buat cerita di belakang,” tegasnya semasa berucap pada majlis kesyukuran 33 pemilik asal lot yang berpindah ke rumah baharu dan doa selamat untuk 19 anggota Pemuda PBB Nangka yang selamat menunaikan umrah awal bulan ini di sini malam tadi.
Dr Annuar juga Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi berkata, beliau percaya mangsa kebakaran tersebut tidak berbuat demikian kerana bersyukur dengan usaha serta bantuan diberikan kerajaan.
“Individu-individu yang buat cerita ini adalah orang luar, mereka tidak tahu perkara sebenar. Mereka tidak tahu ada lot rumah dikongsi hak milik seramai 12 orang malah ada pula hingga berpuluh orang dan terdapat beberapa buah keluarga tinggal dalam sebuah rumah.
Beliau yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Nangka berkata, 33 pemilik asal lot telah ditawarkan rumah dengan harga RM92,000 dan RM97,000 seunit sahaja.
Harga itu adalah untuk kos pembinaan rumah sahaja manakala kos tanah dan infrastruktur diberi percuma oleh kerajaan.
Sementara itu, semasa ditemui Bernama, beliau berkata, bagi 97 keluarga mangsa kebakaran tersebut akan diberi seunit lot rumah masing-masing di Kemuyang dalam tempoh dua bulan lagi dan kemudahan infrastruktur sedang dilaksanakan.
Katanya, keluarga berkenaan juga akan ditawarkan dengan pembinaan rumah mampu milik sahaja sama seperti di Kampung Datu Baru dan terpulang kepada mereka untuk menerima tawaran itu. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…