KUALA LUMPUR – Mahkamah Majistret Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman denda RM1,500 atau penjara empat bulan terhadap Mohd Ridhuan Giman.
Ridhuan didakwa membuat laporan palsu kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menuduh pasangan yang dikatakan sedang berkhalwat.
Namun apabila diselidik, pasangan tersebut sebenarnya suami isteri yang sah.
Mahkamah Majistret telah membuat keputusan pada 26 Februari lalu bagi membersihkan kembali nama baik Penguat kuasa JAWI yang sebelum ini dituduh tidak melaksanakan tugas dengan profesional.
Berhubung isu tersebut, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Dr. Asyraf Wajdi Bin Dato’ Dusuki memberitahu, Jabatan Agama Islam akan mengambil tindakan mengikut syarat yang telah digariskan.
“Sering kali pihak berkuasa agama Jabatan Agama Islam Negeri-negeri didakwa mengambil sesuatu tindakan seperti menangkap orang berkhalwat secara semberono. Sedangkan pihak berkuasa hanya mengambil tindakan berasaskan aduan orang ramai dan mengikut yang digariskan syarak,” ujar beliau melalui entrinya di Facebook.
Tambahnya lagi, pelbagai usaha yang dilakukan oleh puak-puak anti-Islam yang dipelopori kelompok Liberal yang cuba menjatuhkan nama baik institusi-institusi agama.
Beliau juga berharap agar usaha sama dapat dilakukan bagi memupuk kualiti Islam dan tidak sama sekali bersekongkol dengan golongan yang mahu menjatuhkan nama baik Islam. – MYNEWSHUB.CC/MIZE