JAKARTA – Pencarian untuk enam mangsa yang masih hilang selepas insiden tanah runtuh di Indonesia dihentikan, kata pihak berkuasa semalam, menjadikan angka kematian kepada 18 orang.
Runtuhan lumpur dan batuan menuruni lereng curam di Jawa Tengah minggu lalu, menimbus mangsa yang sedang mengerjakan sawah padi.
Sejak seminggu lalu, ratusan penyelamat termasuk anggota tentera, polis dan masyarakat setempat menggali runtuhan untuk mencari mangsa yang tertimbus.
Pihak berkuasa berkata, 12 orang disahkan maut sementara enam lagi masih hilang, manakala 18 lain terselamat.
“Operasi pencarian ditutup secara rasmi, namun jika ada perkembangan lanjut, kami akan kembali,” kata jurucakap Agensi Mencari dan Menyelamat Kebangsaan, Zulhawary Agustianto.
Kejadian tanah runtuh itu susulan hujan lebat selama beberapa hari di kawasan pergunungan, sejauh tujuh jam ke timur ibu kota ini.
Pihak berkuasa berkata, banjir turut mengorbankan tiga orang di daerah berhampiran, Losari. – AFP/BH ONLINE