ARAU – Kerajaan Perlis sudah mengemukakan permohonan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) supaya membuka semula zon aliran bebas di Pos Imigresen Wang Kelian dekat sini, namun jawapan rasmi mengenainya belum diterima.
Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata, pihaknya sangat berharap agar kerajaan persekutuan mempertimbangkan cadangan itu, bagi membolehkan Wang Kelian membangun seperti Padang Besar yang juga terletak di sempadan negara.
“Sebenarnya kita sudah ada satu pelan pembangunan induk untuk Wang Kelian… Jururunding sudah lakukan kajian berhubung bentuk pembangunan di situ, namun bila timbul isu pemerdagangan manusia, ia telah membantutkan cadangan itu.
“Berdasarkan kepada pemerhatian yang kita buat memang setelah kerajaan persekutuan tarik balik aliran bebas, kawasan Wang Kelian sebelah Malaysia merosot dari segi ekonominya dan penduduk hilang mata pencarian,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Projek Masjid Al-Mursyid di sini, hari ini.
Katanya, kerajaan negeri juga sudah memberikan beberapa syor agak kawalan keselamatan di pintu sempadan negara itu diperketatkan jika sistem aliran bebas dilaksanakan semula.
Semalam Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail merayu kepada kerajaan persekutuan agar membuka semula zon aliran bebas di Pos Imigresen Wang Kelian bagi membantu menjana ekonomi rakyat di kawasan itu.
Zon aliran bebas yang memberi kemudahan pergerakan bebas tanpa dokumen sehingga jarak kira-kira satu kilometer dari sempadan, masing-masing di Wang Kelian dan Wang Prachan di Satun, Thailand, menjadi tarikan utama pelancong ke kawasan itu sejak sekian lama.
Bagaimanapun, kemudahan itu dihentikan berkuat kuasa 1 April 2015 atas faktor keselamatan, dan sejak itu semua warganegara Malaysia dan pelawat asing yang ingin keluar masuk melalui pos imigresen Wang Kelian-Wang Prachan, perlu mempunyai dokumen perjalanan sah. – BERNAMA