KUALA LUMPUR – Masyarakat Cina diingatkan agar tidak menaruh sebarang harapan kepada DAP kerana ia merupakan parti yang tiada prinsip dan tidak memperjuangkan masalah masyarakat Cina, kata Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Katanya masyarakat Cina tidak perlu bergantung harap kepada DAP untuk memperjuangkan nasib mereka kerana parti itu sanggup menggunakan apa sahaja isu demi mendapatkan kuasa.
“DAP cepat mengubah wajah mereka. Ia adalah sebuah parti yang tiada prinsip dan menggadaikan apa jua termasuk kepercayaan rakyat demi agenda peribadi dan merampas kuasa,” katanya dalam sidang media selepas sambutan ulang tahun ke-69 MCA di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong; Setiausaha Agung, Datuk Seri Ong Ka Chuan, veteran MCA dan 2,500 perwakilan serta Duta Besar China ke Malaysia, Bai Tian.
Tiong Lai juga berkata, MCA yakin akan mendapat sokongan semua rakyat berikutan kerjasama yang lebih erat dengan parti komponen Barisan Nasional lain. – BERNAMA