SELEPAS dituduh terlibat dalam kes pelakon, Datuk Farid Kamil, baru-baru ini, penyanyi kumpulan Innuendo, Taj akhirnya meluahkan apa yang terbuku di hatinya selepas insiden itu.
Melalui satu entri yang dimuat naik di laman Facebook miliknya, Taj atau nama sebenarnya Ahmad Tajuddin Mohamed Tahir tampil menjelaskan bahawa dia sememangnya tidak pernah terlibat dalam perkara tersebut malah tidak mengenali aktor tersebut.
Perkongsian pedas tersebut nyata tidak menyebut atau memetik sebarang nama, namun ramai netizen seolah-olah memahami dan mengetahui kepada siapa tulisan itu ditujukan.
“Saya dituduh melakukan sesuatu yang mustahil kerana saya tiada di tempat kejadian. Kami tidak pernah bertemu, beliau bukanlah seorang kawan, malah kami juga bukan kenalan,” tulis Taj.
Selain itu, Taj turut mempersoalkan keperibadian pelakon itu sendiri yang sanggup menyalahkan orang lain atas tindakannya sendiri.
Tambahnya, seseorang itu perlu sentiasa bertanggungjawab atas pilihan yang dibuat dan tidak hanya menuding jari kepada orang lain bagi melepaskan diri.
“Yang sebetulnya terbongkar di sini bukanlah penglibatan saya, tetapi keperibadian beliau sendiri. Bagaimana kita mahu mempercayai seseorang yang daya ingatannya sendiri diragui?”
“Saya ulangi, perangai bergantung kepada diri sendiri. Saya rasa sudah tiba masanya untuk beliau menjadi seorang lelaki dan menanggung natijah dari pilihannya,” luah Taj.
Sebelum ini, Taj dan seorang lagi individu bernama Ahmad Fairuz Ahmad Rosli atau Osh didakwa telah meletakkan bahan terlarang ke dalam minuman Farid sehingga mendorong dia bertindak agresif di dalam sebuah balai polis.
Farid juga telah mendakwa bahawa mereka telah memberikannya rokok yang sudah disapu dengan minyak dipercayai daripada bahan dadah.
Terbaru, Farid telah didakwa atas pertuduhan membuat laporan polis palsu berhubung dakwaan kononnya tiga rakan artis meletakkan dadah di dalam minumannya.
Baca: Farid Kamil Didakwa Lagi, Mengaku Tidak Bersalah
Juga: Buat Kenyataan Umum, Majistret Tegur Farid Kamil
Dalam pada itu, Taj melalui perkongsiannya itu juga meminta rakan-rakan dan keluarganya yang terkesan melalui episod itu supaya memaafkan pelakon tersebut dan supaya tidak lagi mencercanya.
Ini kerana individu itu sendiri telah memalukan dirinya sendiri dengan perbuatan dan tuduhannya yang tidak berasas.
“Kepada ahli keluarga dan para sahabat yang turut terkesan akibat dari peristiwa ini, saya mohon agar dimaafkan beliau atas keterlanjurannya.
“Usahlah dicerca seseorang yang sudah sediakala mencela dirinya. Manusia mempunyai berbagai ragam dan kemampuan akal yang juga pelbagai,” simpulnya.
Mengakhiri tulisannya, Taj turut berpesan kepada anak-anak muda supaya menjauhi dadah kerana perkara tersebut hanya mendatangkan faedah buruk kepada masyarakat.
“Akhir kata, saya ingin menyampaikan sepotong wasiat kepada generasi anak-anak kita: Jangan hisap dadah, nanti jadi bodoh,” tulisnya. – MYNEWSHUB.CC/EZ