MIAMI – Sebuah jejantas bagi pejalan kaki telah runtuh dan musnah yang mengakibatkan kematian sebanyak 6 orang di bandar Miami, Florida, Amerika Syarikat Jumaat lepas.
Sejam sebelum insiden tersebut berlaku, satu pertemuan di antara pihak jurutera dan wakil pegawai universiti telah diadakan bagi membincangkan keretakan yang berlaku pada jejantas tersebut.
Bagaimanapun, sebuah syarikat kejuruteraan, Figg Bridge Engineers (FGG) pada awalnya memberitahu, keretakan yang berlaku pada jejantas tersebut tidak akan membawa risiko yang tinggi.
Namun, sangkaan tersebut meleset apabila jejantas seberat 950 tan itu runtuh secara tiba-tiba.
Menjelang Sabtu petang, kerja-kerja menyelamat telah dilaksanakan dan telah berjaya mengeluarkan empat kenderaan yang hancur dari bawah runtuhan tersebut.
Pengarah Jabatan Polis Miami-Dade, Juan J. Perez berkata, kesemua mangsa telah ditemui dan dikeluarkan dari jambatan tersebut.
“Kami akan membuat kerja-kerja pembersihan di sana untuk pemeriksaan yang terakhir. Buat masa ini, kami yakin bahawa tiada mangsa lagi yang tersisa,” katanya pada Reuters.
Antara tiga daripada mangsa yang ditemui semlam dikenal pasti oleh polis iaitu Rolando Fraga Hernandez, Oswald Gonzalez, Alberto Arias dan Navarro Brown, manakala dua orang lagi mangsa belum lagi dimaklumkan kepada media.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional masih lagi menyiasat sebab-sebab keretakan yang berlaku dari jejantas tersebut yang membawa kepada keruntuhan. – MYNEWSHUB.CC/MIZE