ISKANDAR PUTERI – Pertumbuhan pesat pembangunan di Johor, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, yang diunjurkan terus berkembang rancak dalam beberapa tahun akan datang, diunjur berkemungkinan menggantikan Lembah Klang sebagai wilayah penyumbang penting ekonomi negara.
Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yakin pertumbuhan ekonomi di negeri itu akan berkembang lebih pesat dalam tempoh 10 tahun ini berdasarkan beberapa trend dan faktor positif yang bakal menjayakannya.
Trend itu termasuklah hakikat bahawa Lembah Klang kini sudah sarat dan tiada lagi kawasan yang hendak dibangunkan pada masa depan susulan kepesatan pembangunan selama ini.
Selain itu, keyakinan berkenaan turut bersandarkan pencapaian Johor memperoleh pelaburan tertinggi dalam sektor pembuatan selama empat tahun berturut-turut sejak 2013, selain menjadi antara penyumbang tertinggi kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selepas Lembah Klang.
“Ketiga, jika dibandingkan Johor dengan Selangor dan Pulau Pinang, Pulau Pinang merupakan negeri yang kecil manakala Selangor mendapat limpahan daripada Kuala Lumpur.
“Apabila Kuala Lumpur belanja di Kuala Lumpur, Selangor yang dapat (manfaat). Johor tiada, namun lihatlah perkembangan Johor sekarang,” katanya pada temu bual bersama Bernama di pejabatnya di Kota Iskandar, pusat pentadbiran Kerajaan Johor, baru-baru ini.
“Dalam tempoh 10 tahun akan datang, anda bakal menyaksikan Johor, sebuah ekonomi yang akan membangun dengan pesat,” kata Mohamed Khaled, yang juga Pengerusi Bersama Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA).
Sejak 2011 sehingga 2016, pertumbuhan ekonomi Johor melepasi kadar direkodkan untuk Malaysia setiap tahun, dengan purata 5.9 peratus berbanding 5.1 peratus bagi Malaysia.
Pertumbuhan ekonomi Johor digerakkan oleh kekuatan pelbagai sektor, dan tidak terlalu tertumpu kepada hanya satu sektor pendorong. Johor ialah negeri ketiga terbesar bagi semua sektor utama negara kecuali perlombongan.
Bagi 2016, Johor mencatatkan kadar pertumbuhan KDNK 5.7 peratus, iaitu ketiga tertinggi selepas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan. KDNK Malaysia pada tahun itu pada 4.2 peratus.
Mengambil kira unjuran pertumbuhan itu, Mohamed Khaled berkata pihaknya membuat persediaan awal dalam merangka dan mewujudkan pelbagai pelan pembangunan di negeri ini, mengikut acuan dan keperluan rakyatnya.
Pelan itu, antara lain merangkumi pembangunan potensi setiap daerah berdasarkan kelebihan kawasan masing-masing melalui satu pelan yang dinamakan sebagai Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor.
Mengikut pelan yang dilancar pada 2016 itu, setiap daerah mempunyai rancangan pembangunan masing-masing, sebagai contoh daerah Muar bakal dibangunkan sebagai hab pendidikan dan perabot dan Mersing dalam sektor pelancongan.
Mohamed Khaled, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, berkata semua usaha ini dilakukan kerana menyedari adalah mustahil untuk setiap daerah membangunkan projek yang sama.
“Kita tidak berkehendakkan apa yang ada di Iskandar, Pengerang dibuat juga di daerah lain, (itu adalah) mustahil. Atas sebab itu, kita berusaha membangunkan daerah-daerah mengikut kelebihan masing-masing,” katanya.
Menyentuh kepesatan pembangunan yang sedang berlaku di Johor Bahru, Pengerang dan wilayah ekonomi Iskandar Malaysia, Mohamed Khaled berkata kepesatan itu tidak seharusnya mengundang perasan iri hati dalam kalangan penduduk di daerah lain di negeri ini.
Ini dsebabkan kesemua kepesatan itu, akan memungkinkan kerajaan negeri menjana sumber kukuh untuk diagihkan ke daerah lain semata-mata untuk pembangunan keperluan asas lebih bermutu dan prasarana lain yang memanfaatkan rakyat.
“Pendekatan kerajaan negeri adalah untuk mempastikan pembangunan yang ada di Johor bersifat inklusif, seimbang dan membawa kesejahteraan kepada rakyat.
“Jika kita tidak ada pertumbuhan, kemajuan di mana-mana daerah khususnya di Iskandar dan Pengerang, kita tidak mungkin mempunyai sumber dan kekuatan untuk membangunkan, memajukan kawasan lain.
“Oleh sebab kita sudah memilih untuk membangunkan Johor secara inklusif dan seimbang, maka kita perlu juga memastikan daerah lain tidak wujud jurang yang begitu besar dengan daerah yang berlaku pertumbuhan pesat,” katanya. — BERNAMA