KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang AntiBerita Tidak Benar telah dibentang dan diluluskan di Kabinet hari ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said.
Beliau berkata bacaan kali pertama rang undang-undang itu dicadang dibuat di Dewan Rakyat minggu depan.
“Sesi taklimat bersama ahli Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang juga akan diadakan dalam tempoh terdekat berhubung rang undang-undang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azalina menjelaskan bahawa pembentukan rang undang-undang itu bertujuan untuk memperuntukkan beberapa kesalahan berkaitan penyebaran berita tidak benar dan langkah-langkah bagi mengekang berita tidak benar.
Rang undang-undang ini, katanya, digubal demi kepentingan masyarakat umum bagi melindungi rakyat daripada lambakan berita tidak benar serta menjadi mangsa kepada berita tidak benar.
“Bagaimanapun, rang undang-undang ini sama sekali tidak menyekat hak kebebasan bersuara rakyat sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan,” tegasnya.
Azalina seterusnya berkata kerajaan berharap semua pihak menerima baik rang undang-undang ini serta tidak mempolemikkan isu ini lagi.
“Pada masa sama, rang undang-undang ini juga akan memberi mesej jelas bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan apa-apa perkara yang boleh memudaratkan ketenteraman awam dan keselamatan negara,” katanya. – BERNAMA