KABINET terbaru Presiden Donald Trump menunjukkan gerakan ke arah pelaksanaan dasar luar yang lebih agresif termasuk tindakan ketenteraan terhadap negara musuh.
Pilihan Trump untuk jawatan setiausaha negara, Mike Pompeo ialah pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA) yang menentang rundingan dengan Iran pada 2015 yang telah menamatkan sebahagian besar sekatan ke atas Iran, dan membenarkan Iran membangunkan tenaga nuklear.
John Bolton yang bakal memulakan tugas sebagai penasihat keselamatan nasional pula dikenali dengan pendirian yang sangat properang dan tidak senang dengan kerjasama multilateral di peringkat antarabangsa, termasuk dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Bolton, bekas Duta AS ke PBB dikenali dengan pandangan kerasnya terhadap Iran, dan pernah menjanjikan perubahan rejim di Tehran menjelang penghujung 2018 kepada kumpulan pengganas antikerajaan Iran, Mujahideen-e-Khalq.
Sejurus dipilih Trump, Bolton membuat kenyataan bahawa AS perlu bersedia untuk berperang demi mengekalkan keamanan.
Bolton pernah bersuara menggesa AS mengebom Iran, Syria, dan Korea Utara, pandangan yang bakal sampai terus ke telinga Trump apabila beliau mula menjawat jawatan penasihat keselamatan nanti.
Pada masa ini, Bolton telahpun mencetuskan kebimbangan di Iran dan rasa berharap di Israel, yang mahu melihat sesuatu yang lebih serius dilakukan terhadap Iran.
Seorang lagi yang dipilih sebagai penasihat keselamatan bagi pentadbiran Trump, Gina Haspel, walau bagaimanapun kelihatan berdepan laluan sukar untuk diterima sebagai pengarah CIA ekoran rekod lamanya terlibat dalam penyiksaan tahanan, rekod yang kini tersebar luas di media.
Haspel juga dijangka akan membina gandingan penasihat keselamatan Trump yang kuat menyokong perang, tetapi tanpa beliau, Pompeo dan Bolton sudah cukup untuk mencetuskan risiko perang.
Pemerhati menyifatkan kabinet perang Trump ini menyamai kabinet George W Bush 15 tahun lalu, yang menyaksikan tokoh seperti Naib Presiden Dick Cheney dan Setiausaha Pertahanan Donald Rumsfeld.
Bolton berkhidmat sebagai duta ke PBB di bawah pentadbiran ini, pada masa AS menyerang Iraq pada 2003.
Dalam hubungan perdagangan, perang telahpun tercetus antara Amerika Syarikat dengan China, dalam bentuk cukai terhadap barangan import satu sama lain.
Trump merancang untuk mengenakan tarif pada barangan China bernilai AS$60 bilion, salah satu alasannya mencuri harta intelektual atau menciplak idea barangan atau reka bentuk.
Menurut Rumah Putih, senarai lebih daripada 1,000 barangan untuk dikenakan tarif 25 peratus telah disediakan.
China bertindak balas dengan mengumumkan tarif bernilai AS$3 bilion terhadap barangan AS.
Cukai terbaru dikenakan oleh Trump ini menyusuli tarif dikenakan Januari lalu terhadap panel solar dan mesin basuh, dan logam awal bulan ini.
Tindakan mengenakan cukai ini selari dengan pendirian Trump yang menyokong peningkatan perlindungan bagi industri tempatan AS, yang merupakan sebahagian daripada agendanya untuk memulihkan industri tempatan dengan “membawa kembali pekerjaan tersebut ke AS,” kata Trump di Twitternya.
Tarif yang dikenakan ini boleh membantu industri tempatan dengan meningkatkan harga barangan import, lalu mengurangkan pembelian barangan lebih mahal tersebut dan pembeli beralih ke barangan dibuat di dalam negara.
AS mempunyai defisit perdagangan yang tinggi dengan China, bernilai AS$375 bilion pada tahun lepas, dan Trump berharap tarif terhadap barangan import China boleh membantu mengurangkan defisit ini.
Pemikiran Trump tentang perlindungan industri tempatan dan tarif ini juga berkait dengan perang, iaitu pembuatan peralatan perang.
Trump awal Mac turut mengenakan tarif 25 peratus pada keluli dan dan 10 peratus pada aluminium, yang alasannya untuk mengurangkan pergantungan pada logam import.
Menurut Trump, pergantungan ini menyebabkan AS akan gagal membuat senjata dan kenderaan yang cukup sekiranya berlaku perang.
Pengecualian sementara – sehingga 1 Mei – diberikan pada Kesatuan Eropah dan sekutu-sekutu lain, sumber utama import besi dan aluminium AS, menunjukkan sasarannya ialah China.
Tiga sumber utama import keluli AS ialah Kanada, EU, dan Korea Selatan, manakala China berada di tangga ke lapan, jauh lebih kecil berbanding import dari negara sekutu.
Kemunculan tokoh-tokoh neokonservatif dalam kabinet Trump ini menunjukkan haluan untuk memilih tindakan perang semakin mudah, dengan dua jawatan setiausaha negara dan penasihat keselamatan dipegang oleh tokoh “ultra-hawk”.
Kemungkinan perang berlaku ini pun sudah cukup meletakkan dunia dalam keadaan panik, pada masa sama mendorong sekutu yang turut sama menyokong agenda perang ini menjadi lebih rakus dan agresif.
Perkembangan ini memburukkan lagi suasana dunia yang dipenuhi pelbagai krisis dan konflik. – Mynewshub.cc/HZ