SATU rakaman video memaparkan seorang juruteknik kacak sedang mengawasi sebuah kapal terbang di sebuah lapangan terbang di Xiamen, China menjadi tular melalui laman sosial.
Menerusi rakaman pendek itu, juruteknik berkenaan yang segak dan tampan mengenakan kaca mata hitam itu dilihat sedang mengawasi sebuah kapal terbang yang baru sahaja mendarat di lapangan berkenaan.
Ketampanan juruteknik itu menjadi menjadi bahan bualan hangat dalam kalangan netizen di media sosial negara berkenaan kerana lazimnya golongan lelaki di China tidakah sekacak kaum Adam di Korea Selatan.
Rata-rata netizen mengaitkan penampilan juruteknik itu dengan aktor kacak yang berasal dari Korea Selatan iaitu Song Joong Ki menerusi karakter lakonannya dalam drama, Descendant of The Sun.
Kesan daripada itu, juruteknik berkenaan telah berhadapan dengan tindakan dipotong gaji sebanyak 10 peratus kerana berketerampilan terlalu kacak di khalayak awam.
Memetik sumber, difahamkan oleh pihak majikan dan syarikat lapangan terbang tersebut mengambil tindakan itu sebagai penalti terhadap juruteknik berkenaan kerana dianggap telah menyalahi udang-undang disiplin.
Sumber berkata, juruteknik itu dikatakan bersalah kerana didapati berpakaian tidak kemas selain memasukkan tangan ke dalam poket seluar seperti dilihat dalam video yang tular itu.
Ekoran itu, netizen meluahkan perasaan geram dan tidak berpuas hati dengan tindakan pihak tersebut yang dianggap sebagai tidak wajar sama sekali.
Malah, terdapat juga segelintir pihak yang menganggap pihak majikan sebenarnya mungkin cemburu dengan tahap ketampanan yang dimiliki oleh juruteknik tersebut.
Pun begitu, juruteknik berkenaan dikatakan mengakui mengakui kesalahan diri kerana tidak mematuhi etika dan peraturan ketika waktu bekerja.
Pada masa sama, lelaki berusia 25 tahun itu juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang memberi sokongan serta cuba ‘membela’ nasibnya.
“Sejujurnya, saya berasa agak gembira kerana tidak mudah menjadi begitu terkenal dengan cepat. Syarikat saya tidak melakukan apa-apa yang salah, itu adalah kesalahan saya kerana tidak mematuhi piawaian yang betul dari segi kod pakaian dan tingkah laku,” ujar juruteknik itu.
Sehingga kini, rakaman yang menerima lebih daripada 100,000 tontonan itu terus menjadi perhatian dan dikongsi oleh netizen menerusi pelbagai platform. – MYNEWSHUB.CC/AM