KUALA LUMPUR – Satu kajian mendalam mengenai penggunaan sistem teknologi video bantuan pengadil (VAR) perlu dilaksanakan bagi memastikan sistem berkenaan berkesan dalam meningkatkan kualiti pengadilan bola sepak di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh berkata penggunaan sistem berkenaan bukan sahaja menelan kos yang tinggi namun masih menggunakan kepakaran pengadil dalam memastikan keputusan ketika sesuatu perlawanan bola sepak adalah tepat.
Beliau mendakwa beberapa negara di Eropah seperti England turut dilaporkan serba salah dalam melaksanakan penggunaan sistem berkenaan sepenuhnya dalam saingan Liga Perdana Inggeris kerana dikatakan sering bercanggah dengan keputusan yang dibuat oleh pengadil.
“Ada beberapa negara seperti England, umpamanya, yang serba salah hendak melaksanakan VAR ini, namun elok saya nyatakan di sini bahawa sistem VAR itu sebenarnya dikawal oleh manusia dalam membuat keputusan dan bukannya teknologi itu sendiri.
“Sehubungan itu, kita harap badan dunia seperti IFAB (International Football Association Board) dapat memberikan keputusan yang lebih baik dalam perkara ini dan kita harap dalam jangka masa panjang, VAR ini akan murah kerana harganya agak mahal ketika ini,” jelas Subkhiddin kepada Bernama, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Subkhiddin yang juga bekas pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sudah memaklumkan perkara berkenaan kepada Presiden FAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang dilaporkan bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan sistem berkenaan sehingga berakhirnya saingan Piala Dunia FIFA 2018 yang bakal diadakan dari 14 Jun hingga 15 Julai di Rusia.
FAM sebelum ini dilaporkan merancang memperkenal sistem VAR pada saingan Liga Super 2018 dengan menjadikan aksi separuh akhir dan final Piala Malaysia 2017 sebagai medan untuk menguji keberkesanan teknologi berkenaan.
Beberapa negara Eropah seperti Itali dan Jerman dilaporkan sudah melaksanakan sistem VAR dalam saingan domestik bola sepak negara masing-masing.
VAR adalah satu sistem video bertujuan meningkatkan mutu pengadilan, selain untuk mengurangkan kontroversi berhubung keputusan sesuatu perlawanan dengan membolehkan pengadil melihat dan meneliti semula beberapa insiden di atas padang yang kurang jelas.
Sistem tersebut menumpukan empat perkara – mengesahkan jaringan, menentukan layangan kad merah dan kuning kepada pemain, menentukan pemberian sepakan penalti serta mengelak kesilapan identiti pemain. – BERNAMA