LAZIMNYA amat jarang melihat kelibat golongan remaja aktif menyertai program anjuran agensi kerajaan apatah lagi yang bersifat agak berat dan hanya layak melibatkan kelompok dewasa.
Namun Karnival Online Networking Entrepreneurs (ONE) anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang berlangsung di kompleks beli-belah City ONE Megamall, Kuching, Sarawak ternyata amat berbeza sambutannya.
Meskipun ini kali ketiga acara sedemikian diadakan di Bumi Kenyalang selepas pada 2015 dan 2016, program yang asalnya disasarkan untuk usahawan atas talian tempatan itu kini sebaliknya berjaya dimeriahkan ramai anak muda.
Meskipun sebahagian aras dua pusat beli-belah itu dipenuhi 80 gerai jualan peniaga online setempat dan pameran pelbagai agensi kerajaan mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka, karnival kali ini ada keunikannya.
Baca: Artis Terkejut Ramai Anak Muda Banjiri Karnival ONE
Berlangsung padat selama tiga hari bermula Jumaat lalu, program tersebut turut diisi persembahan artis popular, silap mata dan penghibur jalanan selain pertandingan berunsurkan keusahawanan serta sesi cabutan bertuah.
Juga akvititi kecergasan termasuklah acara sukan yang melibatkan perlawanan street soccer, bola jaring, papan selaju, permainan video, pertunjukan aksi basikal lasak, zumba, memanah, baling dart dan pakaian beragam.
Tidak ketinggalan disediakan pameran pelbagai motosikal baharu dan klasik, pertandingan nyanyian secara karaoke, peraduan solekan pengantin dan pertunjukan fesyen serta cabaran pencarian ala buru harta karun.
Karnival yang dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Awang Tengah Ali Hassan pada Sabtu turut dipenuhi enam slot taklimat antaranya meliputi ancaman penipuan siber, celik niaga dan potensi bisnes francais.
Pada program ini, SSM turut mengagihkan zakat korporat dan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM70,000 yang masing-masing melibatkan 100 penerima anaf dan 50 pelajar bukan Islam di Sarawak.
Setiap seorang layak menerima RM300 manakala enam buah surau membabitkan kolej vokasional dan sekolah menengah teknik dari seluruh Sarawak turut menerima bantuan zakat korporat selain CSR daripada SSM.
Sesuai dengan sasaran golongan remaja, karnival kali ini menarik seramai 20,000 pengunjung. Turut hadir pada perasmian ialah Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Henry Sum.
Tidak ketinggalan ialah Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abdul Wahab Fenner yang turut ‘berkampung’ di Sarawak sejak beberapa hari lalu demi memastikan segala persiapan Karnival ONE itu berjalan dengan lancar.
Menurut Ketua Seksyen Komunikasi Korporat SSM, Mohamad Shahren Mohamad Yusri yang ditemui Mynewshub, karnival pada kali ini lebih kepada menarik minat generasi muda untuk terlibat dalam bisnes khasnya atas talian.
“Ia selaras slogan SSM sendiri iaitu ‘perniagaan satu kerjaya’ namun pada masa sama, mendedahkan anak muda yang mahu berniaga dengan pelbagai info terkini sejajar matlamat karnival sebagai sebuah pusat sehenti,” jelasnya.
Tinjauan Mynewshub sendiri mendapati, Karnival ONE tersebut tidak putus-putus dikunjungi lepasan sekolah yang mencari maklumat mengenai peluang perniagaan daripada gerai agensi awam dan mendengar ceramah disediakan.
Ternyata pendekatan unik SSM yang menawarkan banyak aktiviti menarik dan memenuhi cita rasa golongan remaja berjaya mendekatkan jurang generasi muda dengan pihak berwajib secara santai. – Mynewshub.cc/HAA