SELAMA – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) belum bercadang menyemak kadar komisen bahan api yang diberikan kepada pemilik stesen minyak di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata sebarang keputusan sama ada untuk menyemak komisen itu akan dibuat selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Sistem sekarang ini diterima baik oleh rakyat dan kita tidak akan mengubahnya setakat ini.
“Saya dah terima memorandum dan berjumpa dengan Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera dan kerajaan sentiasa melihat, jika ada ruang memberi penambahbaikan maka kita akan lakukan dari semasa ke semasa,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis kenduri sekampung di Kampung Tapah, Sungai Bayor, dekat sini, hari ini.
Baru-baru ini, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera mahu kerajaan menyemak semula kadar komisen jualan bahan api yang diberikan kepada pengusaha kerana ia tidak lagi releven dengan kos operasi pada masa kini.
Presidennya, Datuk Abu Samah Bachik, berkata komisen sebanyak RM0.12 sen seliter bagi petrol dan RM0.07 sen bagi diesel tidak dikaji semula sejak 2008. – BERNAMA