KOTA BELUD – Kerajaan memuji usaha Yayasan Bank Rakyat (YBR) dalam membantu masyarakat, khususnya golongan kurang berkemampuan, untuk maju dalam pendidikan.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata usaha yayasan itu dapat membantu kerajaan yang berusaha membentuk ekosistem pembelajaran abad ke-21 bagi memastikan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan tercapai.
“Kita telah memasuki gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dengan tekad dan azam untuk terus berusaha melonjakkan kualiti pendidikan.
“Dalam hal ini, kemenjadian murid harus dilihat secara holistik dan menyeluruh dari segi akademik, sahsiah, kokurikulum dan sukan,” katanya pada program YBR di sini hari ini.
Salleh, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Usukan, berkata kerajaan sentiasa menekankan kepentingan pendidikan dan telah melaksanakan pelbagai inisiatif bagi memastikan rakyat mempunyai akses kepada pendidikan.
“Kalau dulu, ibu bapa dibebankan dengan yuran wajib bayar. Tetapi sekarang, kesemua yuran ini dimansuhkan.
“Selain itu, pinjaman buku teks pula diberikan mengikut taraf pendapatan ibu bapa. Kini, ia diberikan kepada semua pelajar,” kata Salleh.
Beliau berkata kerajaan turut menyediakan Bantuan Khas Awal Persekolahan 1Malaysia sebanyak RM100 yang memanfaatkan 3.2 juta murid.
Menurut Salleh perbelanjaan pendidikan Malaysia adalah dua kali ganda berbanding perbelanjaan negara ASEAN lain, namun kerajaan membelanjakan purata RM8,900 setiap murid setahun.
“Ini menunjukkan betapa kerajaan sekarang iaitu Barisan Nasional menitikberatkan bidang pendidikan untuk rakyat Malaysia, walaupun terdapat pandangan negatif daripada pihak tertentu yang sentiasa mengkritik usaha murni kerajaan dalam membantu rakyat,” katanya.
Menurut Salleh, kemudahan yang disediakan kerajaan adalah hasil kestabilan politik yang membolehkan kerajaan meneruskan agenda membangunkan dan memajukan negara.
“Jadi, kita berharap kesinambungan ini diteruskan pada masa akan datang…hanya BN yang boleh melaksanakannya,” katanya.
Pada program itu, seramai 250 murid dalam Parlimen Kota Belud menerima bantuan RM100 dan beg sekolah oleh YBR.
Sebanyak 10 orang juga terpilih untuk menerima bantuan Tuisyen Rakyat sebanyak RM1,440 untuk setiap sekolah.
Turut hadir Pengerusi YBR Tan Sri Shukry Mohd Salleh. – BERNAMA