KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Nuemera (M) Sdn Bhd diperintah untuk memfailkan pernyataan pembelaan masing-masing dalam kes saman dikemukakan oleh Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berhubung dakwaan kebocoran maklumat peribadinya.
Peguam Louis Liaw memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Hakim Mahkamah Sesyen Harmi Thamri Mohamad@Shaharudin hari ini.
Katanya, mahkamah juga menetapkan 22 Mac untuk pengurusan kes berkenaan.
Ahmad Fahmi yang juga dikenali sebagai Fahmi Fadzil selaku plaintif memfailkan saman itu pada 6 Februari lepas dengan menamakan SKMM dan Nuemera iaitu syarikat yang melaksanakan skim Sekatan Perkhidmatan Celular Awam (PCBS) selaku defendan.
Dalam pernyataan tuntutan, Ahmad Fahmi mendakwa beliau telah mendaftar tiga talian telefon miliknya dengan dua syarikat telekomunikasi dengan memberikan beberapa maklumat peribadinya termasuk nama, nombor kad pengenalan dan alamat tempat tinggal serta maklumat peribadi itu diberikan kepada syarikat telekomunikasi yang mengendalikan talian plaintif.
Plaintif mendakwa pada 2014, Nuemera telah dilantik oleh SKMM untuk mengendalikan PCBS, antara lain fungsinya adalah untuk menyahaktifkan sebuah peranti telefon bimbit apabila ia dilaporkan dicuri dan bagi tujuan itu, kesemua syarikat telekomunikasi diarahkan oleh SKMM untuk memberikan maklumat peribadi pengguna yang mendaftarkan talian telefon kepada SKMM atau Nuemera.
Ahmad Fahmi mendakwa sekitar tahun 2014, maklumat peribadi yang disimpan dalam kawalan SKMM dan Nuemera telah terbocor daripada simpanan defendan termasuk maklumat peribadi plaintif dan kebocoran maklumat itu diketahui pada 2017 selepas beberapa laman sesawang dan portal berita mendedahkan bahawa 46.2 juta maklumat peribadi pengguna telefon mudah alih dijual dalam talian secara haram.
Beliau juga mendakwa kedua-dua defendan telah cuai dalam memastikan maklumat peribadi itu disimpan dengan selamat dan gagal memaklumkan kepada orang ramai termasuk plaintif berhubung kebocoran maklumat tersebut.
Plaintif turut mendakwa akibat kecuaian yang dilakukan defendan, maklumat peribadinya telah terdedah dan boleh diakses oleh orang ramai yang boleh menyebabkan maklumat peribadinya dijual tanpa persetujuannya selain boleh digunakan untuk kegiatan yang menyalahi undang-undang.
Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, kos dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…