KOTA KINABALU – Formasi ais telah terbentuk di puncak Gunung Kinabalu buat kali kedua tahun ini, susulan suhu di kemuncak gunung tersebut jatuh -2 darjah Celsius sejak beberapa hari kebelakangan ini.
Ketulan ais itu ditemui oleh malim gunung bernama Jomius Binte pada sekitar jam 6.30 pagi hari ini, kata Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Junaydie Sihan.
Lopak-lopak air kecil di puncak tersebut telah diselaputi lapisan ais oleh kerana suhu yang begitu rendah itu. Kejadian sedemikan pertama kali dilaporkan pada 8 Januari lalu.
“Ketulan ais di bahagian lopak kecil itu dianggarkan telah terbentuk sejak hari Isnin.
“Kejadian sebegini bukanlah sesuatu yang normal berlaku di puncak gunung ini, tapi tidaklah mustahil,” tambah Junaydie lagi. – MYNEWSHUB.CC