SEBUT sahaja ‘tall, dark & handsome‘ (berkulit gelap, tinggi dan tampan) pasti ramai akan teringat dengan insan bernama Khairy Jamaluddin yang sentiasa kelihatan segak dan berjiwa muda.
Populariti Khairy memang tidak boleh dipertikaikan lagi. Kalau anda mengikuti pekembangan di laman sosialnya, Menteri Belia dan Sukan ini sentiasa tampil stylo dan bergaya ke mana sahaja beliau melangkah.
Bagaimanapun, Khairy, 42, baru-baru ini menjadi perhatian netizen menerusi laman Instagram apabila beliau memuat naik foto menunjukkan beliau memakai stoking yang tidak sepadan. Aik dah kenapa tu?
Mana tidaknya, Ahli Parlimen Barisan Nasional Rembau ini dilihat mengenakan sarung kaki yang berwarna kuning pada kaki kanan dan berbelang biru, hitam serta coklat untuk sebelah lagi.
“Saya suka stoking terang, tetapi hari ini ia tidak sepadan. Adakah angkara saya tergesa-gesa untuk menghadiri mesyuarat Kabinet sehingga tidak dapat cari sepasang yang sepadan?
“Adakah ini OOTD (Outfit Of The Day) terbaharu?” katanya menerusi catatan dalam akaun Instragram milik beliau.
Menjelaskan berhubung penampilan stokingnya, KJ memaklumkan bahawa ada sebab beliau memilih untuk berpenampilan unik sebegitu.
“Ia sempena meraikan Hari Sindrom Down Sedunia yang disambut 21 Mac pada setiap tahun,” katanya.
Kongsinya, ia antara lain peringatan kepada masyarakat bahawa manusia dan segelintir perkara mungkin tampak berbeza, namun masih indah serta mengagumkan menerusi kaca mata seperti sedia ada.
Dalam pada itu, bersempena hari yang istimewa itu KJ turut mendedikasikan penampilan itu buat anak saudaranya, Aisha.
“Aisha mempunyai Sindrom Down, tetapi ia tidak pernah dijadikan sebagai rintangan untuk dia mengejar impiannya.
“Dia bijak, cantik, kelakar, aktif dan sentiasa menampilkan diri sebagai jurucakap yang mempunyai keberanian ketika menyampaikan ucaptama mengenai perjuangan ke arah sistem pendidikan menyeluruh, dengan mengetepikan perbezaan antara kanak-kanak biasa serta istimewa,” katanya.