KUCHING – Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyeru rakyat negeri ini supaya terus menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak yang bersikap terbuka berhubung hak rakyat negeri ini, pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Sambil membidas dasar pemusatan yang diamalkan kerajaaan persekutuan ketika era pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, Abang Johari berkata, pada masa itu, tidak ada sesiapa yang berani bercakap mengenai hak kerana mereka akan ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Katanya sikap terbuka Najib membolehkan Sarawak menuntut hak-haknya yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berbanding semasa Dr Mahathir yang akan menghalang sesiapa sahaja daripada menyuarakan dan berbincang mengenai perkara itu.
Semasa era Dr Mahathir, kerajaan pusat turut menguasai projek empangan hidroelektrik Bakun dan sumber DIminyak dan gas Sarawak, kata Abang Johari.
Bagaimanapun, kini projek hidroelektrik Bakun sudah menjadi milik kerajaan negeri dan Sarawak juga sudah mendapat semula haknya ke atas minyak dan gas,” katanya ketika berucap pada majlis penghargaan sempena perhimpunan agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di sini malam tadi.
Menyentuh mengenai pengembalian hak Sarawak ke atas sumber minyak dan gas, Abang Johari berkata keputusan itu mengejutkan pelbagai pihak sambil menambah kata itulah hak Sarawak yang harus dihormati oleh semua pihak.
Beliau membidas tindakan pengerusi DAP Sarawak Chong Ching Jen yang mempersoalkan keikhlasan perdana menteri mengembalikan hak-hak Sarawak ke atas sumber minyak dan gas. – BERNAMA
*Video sekadar hiasan…