DESAS-DESUS bertiup kencang sejak semalam mengatakan kononnya kontrak pengacara, Neelofa sebagai Duta Kad Muslimah Bank Rakyat ditamatkan berikutan isu ‘panas’ yang menimpa beliau.
Ini membabitkan isu tindakan pengacara berusia 29 tahun itu mengadakan majlis pelancaran koleksi hijab baharu di sebuah kelab malam ternama di ibu kota, baru-baru ini.
BACA : Lancar Tudung Di Zouk, Lofa Ada Alasan Sendiri
Namun, dakwaan itu disangkal sama sekali oleh pihak Bank Rakyat dan menyifatkannya sebagai spekulasi semata-mata kerana isu tersebut bukan keluar daripada mereka sendiri.
Menurut Ketua Pemasaran dan Komunikasi Bank Rakyat, Nizam Sani, pihaknya tiada perancangan sama sekali untuk menamatkan kontrak pengacara wanita itu memandangkan isu berkenaan disifatkan sebagai peribadi.
Kata Nizam, pihaknya tidak melihat isu yang melanda Neelofa itu sebagai suatu perkara yang mampu memberi impak negatif kepada syarikat.
“Justeru, tidak timbul sama sekali isu kontrak ditamatkan lebih awal bagi Neelofa,” katanya dipetik Harian Metro.
Neelofa dilantik sebagai dilantik sebagai Duta Kad Muslimah Bank Rakyat pada 21 Disember 2016 dan difahamkan tempoh kontrak pengacara itu masih berbaki dua bulan. –MYNEWSHUB.CC/AM