KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Pahang hari ini melupuskan 38,076 unit cakera padat (CD), cakera padat video (VCD) dan lapan unit telefon bimbit palsu yang dianggarkan bernilai RM190,000.
Pengarahnya Datuk Mark Ujin berkata semua barangan itu membabitkan lima kes pada tahun 2016 hingga 2017 selepas KPDNKK mendapat kebenaran mahkamah untuk berbuat demikian.
“Pelupusan melibatkan tiga kes dibawa kesalahan Akta Hak Cipta 1987 manakala dua lagi melibatkan kes di bawah Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Mark berkata, KPDNKK membuat permohonan untuk melupuskan barangan itu selepas pemilik barangan gagal membuat tuntutan terhadap barangan yang dirampas. – BERNAMA