SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan Tinggi menyalurkan RM300 juta untuk pembayaran kepada 1.2 juta penuntut Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta yang layak menerima bantuan Kad Diskaun Siswa 1Malaysia (KADS1M).
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berkata pembayaran itu akan disalurkan melalui Bank Rakyat bermula 15 Mac ini berdasarkan padanan data penuntut yang mempunyai akaun Bank Rakyat dengan data maklumat pelajar yang layak menerima bantuan itu daripada kementeriannya.
“Ia akan dikreditkan kepada KADS1M mulai 15 Mac ini dan penuntut boleh menyemak nama di Bank Rakyat.
“Peruntukan ini adalah selaras dengan Bajet 2018 yang diumumkan Perdana Menteri pada Oktober lepas bagi membantu mengurangkan kos sara hidup yang dialami penuntut institusi pengajian tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog program #KIT Keeping In Touch Menteri Pendidikan Tinggi bersama pemimpin mahasiswa di Dewan Agung Tuanku Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), di sini hari ini.
Idris berkata para penuntut yang telah menerima kad itu pada tahun lepas tidak perlu membuat permohonan baharu kerana bantuan itu akan dikreditkan secara automatik ke akaun sedia ada mereka.
“Penuntut juga boleh mengambil kad ini di mana-mana cawangan Bank Rakyat… tidak seperti tahun lepas apabla mereka hanya boleh mengambilnya di cawangan Bank Rakyat yang terpilih sahaja,” katanya.
Kad debit pelajar itu berjumlah RM250 boleh digunakan untuk membeli bahan ilmiah di kedai buku terpilih, membeli perisian komputer dan peralatan pembelajaran. – BERNAMA