KUALA LUMPUR – Anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad berkata “semuanya baik sahaja”, apabila ditanya mengenai krisis bekalan air di Selangor yang mengganggu rutin harian rakyat Lembah Klang ketika ini.
Ketika Anggota Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) itu sedang membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (BN-Setiu) mencelah lantas menyoal beliau mengenai krisis bekalan air di Selangor.
“Dekat Melaka ada Ayer Keroh, di Terengganu ada Air Sejuk, di Shah Alam apa ada? Tak ada air…. bila nak selesaikan masalah air yang merupakan keperluan rakyat? Masalah lain kita bising, masalah air hari-hari ini kita tak ambil tahu dan ambil kisah,” katanya.
Khalid berkata masalah itu adalah disebabkan penyelenggaraan ke atas loji, lantas Che Mohamad Zulkifly mendesak dan menyoal bilakah masalah itu akan selesai.
Khalid menjawab ia akan selesai selepas loji berkenaan siap diselenggara.
“Kesian kawan-kawan saya di Shah Alam mengeluh tidak ada air, kena tadah air lima, enam tong,” kata Che Mohamad Zulkifly.
Bagaikan tidak terkesan dengan krisis bekalan air yang sedang berlaku, Khalid berkata: “Ya ke? Saya balik Shah Alam tidak ada apa pun, semua ok sahaja, siap mandi tidak ada masalah.”
Gangguan bekalan air yang melibatkan beberapa daerah sekitar Lembah Klang berlaku lebih lama dari tempoh jangkaan sebelum ini berikutan Sistem Mampatan Udara di Loji Rawatan Air SSP3 pecah, semalam.
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dalam kenyataan berkata insiden yang tidak dijangka itu berlaku semasa persediaan pengaktifan semula operasi loji, yang mengakibatkan kecederaan serius kepada beberapa kakitangan yang sedang bertugas. – BERNAMA