SIK – Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah mahukan post mortem dilaksanakan bagi mengenal pasti kelemahan dan kesilapan yang mengakibatkan pasukan Kedah tewas kepada Pahang dalam aksi pusingan ketiga Piala FA di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.
Perubahan juga perlu dibuat bagi menguatkan skuad Lang Merah berhadapan dengan perlawanan akan datang, katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Muafakat Rakyat Dewan Undangan Negeri (Dun) Jeneri di pekarangan Dataran De’lima Supermarket Batu 5 dekat sini hari ini.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan negeri Datuk Mohd Tajudin Abdullah; Anggota Parlimen Sik, Dr Mansor Abdul Rahman dan Anggota Dewan Undangan Negeri Jeneri, Mahadzir Abdul Rahman.
Ahmad Bashah berkata kalah menang adalah adat permainan bola sepak namun adalah tidak patut menuding jari hanya kepada satu pihak jika pasukan tewas.
“Saya tidak salahkan sesiapa sama ada jurulatih mahupun pemain…adat pertandingan memang ada masa kalah dan ada masa menang. Kalau masa menang baru kita puji jurulatih sebaliknya masa kalah kita mengutuk jurulatih, ini tidak betul.
Dalam perlawanan itu skuad Lang Merah tumpas di tangan Pahang dengan kekalahan tipis 0-1 sekali gus membolehkan pasukan Pahang mara ke pusingan suku akhir Piala FA.
Mengulas lanjut, Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar turut meminta peminat dan penyokong skuad Lang Merah untuk terus memberi sokongan kepada pasukan itu dan meyakini pasukan itu masih mampu membawa pulang dan mempertahankan piala itu menerusi siri perlawanan lain.
“Momentum dan semangat juang masih ada walaupun berdepan pelbagai tuduhan, malah saya selalu sebut, beri peluang untuk kita buat pembetulan di mana-mana.
Apa yang penting, semangat penyokong dan peminat mesti diteruskan, tidak hanya separuh jalan…kita boleh buat perubahan termasuklah dari segi taktikal, kita serah pada jurulatih untuk tengok di mana ada kesilapan untuk diperbetulkan,” katanya.
Kedah merupakan juara Piala FA 2017 selepas mengalahkan Pahang 3-2 di Stadium Shah Alam. – BERNAMA