KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur membuat persiapan rapi dalam memastikan kelancaran perjalanan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) yang meliputi keselamatan di tempat mengundi, lalu lintas ke tempat mengundi dan orang ramai.
Untuk itu, latih amal bagi menghadapi PRU14 diadakan pada Sabtu dan Ahad lepas melibatkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata latih amal itu dilaksanakan oleh semua Ibu Pejabat Polis Daerah yang berada dalam Kontinjen Kuala Lumpur, demi menjamin kelancaran dan kejayaan PRU14.
“Latih amal ini bertujuan mengukur Response Time elemen yang bakal digerakkan ke tempat kejadian, meningkatkan keyakinan petugas-petugas yang terlibat di tempat penamaan calon, penjumlahan dan tempat-tempat mengundi, menguji dan menentukan tahap kesiapsiagaan jentera yang bakal digunakan sepanjang tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata latih amal itu melibatkan elemen seperti Light Strike Force (LSF), Unit Pencegah Rusuhan Awam (PORU), Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan bilik gerakan di peringkat semua daerah dan kontinjen Kuala Lumpur selain menguji sistem komputer sedia ada dan sistem yang dibentuk khas untuk PRU.
Mazlan berkata latih amal selama dua hari itu dirancang mirip kepada keadaan dan ancaman sebenar yang berkemungkinan berlaku semasa PRU14 nanti.
Beliau berkata satu post-mortem akan dilakukan selepas latih amal bagi mengenal pasti kekurangan-kekurangan yang boleh ditambah baik agar perkhidmatan Polis Kuala Lumpur akan lebih bersedia apabila bertugas pada tempoh proses pengundian kelak.
“Seramai 7,563 pegawai kanan dan anggota Polis Kuala Lumpur akan bertugas sewaktu PRU ke-14 nanti.
“Polis tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas kepada mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat ketenteraman awam dan mencetuskan kekacauan semasa berlangsungnya PRU ke-14 di ibu negara nanti,” katanya.
Mazlan berkata sewaktu hari pengundian, orang ramai dinasihatkan keluar mengundi lebih awal, mengamalkan ‘Car Pool’ (kongsi kereta) bagi mengelak kesesakan jalan raya di tempat mengundi serta segera beredar dari tempat mengundi agar tidak menimbulkan kesesakan di tempat mengundi.
Katanya semua pihak turut dinasihatkan supaya mematuhi undang-undang pilihan raya dan undang-undang lain yang sedia ada bagi menjamin keamanan dan kelancaran perjalanan proses pengundian.
“Mereka juga diminta tidak mudah mendengar berita yang tidak sahih tentang kejadian-kejadian atau penutupan atau halangan melalui saluran yang tidak sahih dan mendengar berita daripada pihak yang berwajib sahaja,” katanya. – BERNAMA