SERIAN – Kerajaan menyasarkan pewujudan kira-kira 1.5 juta peluang pekerjaan baharu menjelang 2020 dan lebih 60 peratus daripadanya memerlukan kelayakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem.
Ini menurut Riot menjadikan TVET sebagai platform penting bagi meningkatkan tenaga kerja mahir Malaysia dengan sasaran sebanyak 35 peratus pekerja mahir menjelang tahun 2020. Oleh sebab itu, kata beliau kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak telah memberi penekanan mengarus perdana TVET di mana pada Sept lalu beliau mengumumkan bahawa Kementerian Sumber Manusia telah dilantik sebagai penyelaras kepada TVET Malaysia yang melibatkan tujuh kementerian.
“TVET pada masa kini dilihat sebagai antara bidang yang berdaya saing,” katanya pada sidang media selepas beliau menyempurnakan upacara pecah tanah projek Institut Latihan Perindustrian Serian (ILPS) di sini hari ini.
Beliau berkata bagi graduan bidang TVET kepelbagaian peluang kerjaya tidak terhad untuk graduan TVET bekerja makan gaji semata-mata, malah lulusan TVET juga digalak untuk menceburi bidang keusahawan yang turut dikenali sebagai ‘digital technopreneur’, iaitu usahawanan dalam bidang digital dan teknikal.
Menurut Riot, buat masa peratusan tenaga pekerja berkemahiran tinggi negara adalah 28 peratus sahaja dengan sasaran menghasilkan 35 peratus menjelang tahun 2020.
Sehubungan itu beliau menasihatkan golongan pelajar agar mempelajari bidang kemahiran supaya mudah diterima di pasaran pekerjaan.
Mengenai pembinaan ILP Serian, Riot berkata ia akan dibina di atas tapak seluas 56.76 ekar di Kampung Tenggak, Serian dengan keseluruhan kos sebanyak RM300 juta.
Riot berkata pembinaan akan bermula pada bulan Mei tahun ini dan akan disiapkan dalam tempoh 33 bulan, dan akan memulakan operasinya pada tahun 2021 serta mampu menempatkan seramai 600 pelatih dalam satu masa.
Ia merupakan ILP yang keempat di Sarawak selepas ILP Miri, ILP Kota Samarahan dan ILP Bintulu, dan merupakan ILP yang ke-24 dan Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) ke-33 di mana akan menerapkan konsep dan kursus berdasarkan keperluan setempat.
Kursus yang bakal ditawarkan seperti Kursus Teknologi Penyejukbekuan dan penyaman udara, Teknologi automotif, teknologi kimpalan, teknologi merangka dan mereka bentuk dengan bantuan komputer Computer (CADD) mekanikal untuk minyak dan gas serta kursus teknologi binaaan (bangunan). – BERNAMA