KUALA NERUS – Suasana di Ekspo Terengganu 2018 semakin hangat dengan kehadiran lebih 85,000 pengunjung sejak awal pagi hingga tengah hari ini kerana tidak mahu ketinggalan menyertai pelbagai aktiviti di ekspo tersebut.
Tinjauan Bernama mendapati seawal 7 pagi, pengunjung tidak mengira latar belakang usia mula memenuhi tapak ekspo di Kompleks Sukan Gong Badak.
Peniaga makanan dan pempamer ekspo juga dilihat membuka gerai jualan dan gerai pameran tiga jam lebih awal berikutan kehadiran lebih ramai pengunjung berbanding hari biasa.
Pertambahan pengunjung tersebut juga berikutan ekspo yang berlangsung selama seminggu bermula Ahad lalu dijadual berakhir hari ini.
Bagaimanapun, berikutan sambutan yang menggalakkan, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman pada majlis penutup yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan ekspo itu akan disambung sehingga 6 petang esok.
Hafiz Rahim, 29 dari Kuala Besut berkata meskipun terpaksa bersesak dan beratur untuk masuk ke ruang pameran, dia dan isteri sanggup bersabar semata-mata untuk melihat keistimewaan yang dipamerkan.
“Saya bertolak dari rumah pukul 6 pagi dan tiba di sini pukul 8.30…selepas sarapan, saya dan isteri pergi ke ruang pameran, tengok-tengok orang dah ramai. Terpaksalah kami beratur panjang.
“Kena tunggu lama pun tak apa lah, janji kami dapat tengok perkembangan pembangunan negeri. Memang berbaloi datang ke sini sebab ekspo ni lain dari yang lain…apa yang tak pernah kita tengok, macam pembangunan dahulu pun ada dipamerkan,” katanya ketika ditemui Bernama.
Peniaga kedai makan, Adawiyah Ahmad, 45 dari Batu Rakit berkata beliau mengunjungi ekspo itu untuk membeli barangan di tapak Jualan Sentuhan Rakyat bagi menambah stok barangan basah dan beberapa barangan lain untuk jualannya.
“Semalam kawan saya bagi tahu ada jualan rakyat di sini, jadi saya datang pagi-pagi untuk beli barang. Memang murah sungguh! Beras 10 kilogram dijual dengan harga RM22.99. Biasa saya beli, lagi mahal. Dalam RM26…tapi hari ni, jimat RM3,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abd Rahman berkata tidak sampai dua jam, makanan yang dijual di gerai makanan hotel tersebut habis dijual.
“Biasa kami buka gerai pukul 10 pagi, tapi hari ni kami awalkan sebab ramai pengunjung. Tapi, tak sampai dua jam, 1,000 bungkus nasi ayam, 600 biji burger habis dijual.
Memang kami dah sediakan makanan lebih daripada hari biasa sebab dah jangka hari ni ramai orang. Tapi tak sangka laku macam ni. Biasanya pukul 4 petang baru kami habiskan jualan…tapi hari ni kami terpaksa tambah lagi makanan,” katanya.
Ekspo yang bertemakan #TerengganuMolekDoh tersebut merupakan julung kali dianjurkan kerajaan negeri secara besar-besaran bagi memberi pendedahan kepada rakyat negeri ini mengenai kejayaan dan pembangunan yang telah dilaksanakan kerajaan.
Selain 33 gerai pameran dibuka melibatkan tiga kluster utama iaitu kerajaan negeri, daerah dan portfolio termasuk 14 GLC, ekspo tersebut itu juga memberi peluang kepada usahawan untuk menjual produk masing-masing. – BERNAMA