KISAH keretakan rumah tangga bukan lagi menjadi suatu isu yang ‘asing’ di zaman ini. Dengan adanya media sosial, kisah peribadi rumah tangga kini dengan mudah disebarkan tanpa memikirkan implikasi buruk yang akan berlaku.
Bukan sahaja kisah artis yang dicanang di media sosial, kisah rumah tangga masyarakat biasa juga disebarkan oleh sesetengah suami atau isteri yang tidak gembira dengan perkahwinan mereka.
Malam tadi, tular di laman sosial Facebook luahan hati seorang suami yang mendedahkan kecurangan isterinya bersama seorang usahawan produk kecantikan bernama Fadhlan Azim.
Lelaki tersebut yang bernama Zahary Zack, menulis di laman Facebooknya bahawa dia kini melarang isterinya daripada meniaga produk yang diasaskan Fadhlan Azim iaitu Dr. Product.
Jelas Zahary, isterinya telah digoda oleh pengasas produk tersebut dan mereka berdua sering berbual di aplikasi WhatsApp berbual mengenai perkara yang tidak sepatutnya.
Malah, Zahary juga bertindak untuk menyebarkan beberapa gambar Fadhlan dan isterinya berdua-duaan dan berpelukan dengan satu sama lain.
Tegas Zahary, dia bertindak mendedahkan perkara ini melalui Facebook oleh kerana dia ingin isterinya untuk kembali pulang berada di sampingnya.
“Saya umumkan secara besar-besaran sebab saya ingin isteri saya balik semula pada saya demi saya, anak-anak dan keluarga dan saya akan cuba sebaiknya memelihara isteri saya.
“Saya sedar selama ini saya kurang memberi perhatian kerana saya bekerja makan gaji disiang hari dan part-time kerja ‘longkai’ di waktu malam untuk menambah pendapatan isi rumah,” tulisnya.
Tambahnya perkara tersebut menjadi penyebab dia membenarkan isterinya berniaga namun tidak menyangka kepercayaan yang diberikan ini disalah guna sehingga sanggup mencuranginya.
Bagaimanapun, Zahary berkata dia kini memaafkan tindakan isterinya itu kerana terlalu sayang dan juga kerana anak-anak mereka yang masih kecil.
Ujarnya, hatinya remuk melihat seorang lelaki bujang melakukan hubungan berlebihan bersama seorang wanita yang sudah berkahwin iaitu isterinya sendiri.
Melalui gambar-gambar yang dikongsikan lelaki itu, jelas terbukti wanita tersebut bersama pengasas produk itu berdua-duaan di tempat yang tidak sepatutnya serta mesej-mesej yang disebarkan juga seolah-olah isterinya itu mahu meninggalkan Zahary.
Isu panas ini tentu sekali mendapat perhatian-perhatian netizen ‘bawang’, rata-rata mereka berpendapat bahawa wanita tersebut bukan lah seorang isteri yang baik sehingga sanggup ‘makan luar’.
Tidak kurang juga yang beranggapan perkara ini semua dilakukan bagi tujuan pemasaran produk yang kini dengan mudahnya mendapat perhatian ramai tanpa perlu mengeluarkan duit.
Diharap kedua pasangan ini dapat menyelesaikan masalah mereka secepat mungkin. Bukan apa, jika dah libatkan media sosial dan para netizen, perkara sebegini selalunya menjadi lebih buruk dan lebih sukar untuk mencari jalan penyelesaian. – MYNEWSHUB.CC/EZ